TUDM menghantar bekalan asas sumbangan Yayasan Ikhlas ke Sabah menggunakan pesawat A400M. FOTO Ihsan TUDM
TUDM menghantar bekalan asas sumbangan Yayasan Ikhlas ke Sabah menggunakan pesawat A400M. FOTO Ihsan TUDM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menghantar 37 kotak makanan ke Tawau, Sabah sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) untuk bantuan kepada penduduk yang terjejas di negeri itu, hari ini.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam kenyataan berkata, penghantaran udara membabitkan sebuah pesawat angkut berlepas dari Pangkalan Udara Subang, di sini, ke Tawau pada 7 pagi tadi.

"Barangan sumbangan Yayasan Ikhlas berkenaan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan di sekitar Sabah yang terkesan akibat kemiskinan dan pandemik Covid-19.

"Barangan keperluan asas yang dibawa adalah beras, bihun, minyak masak, tepung gandum, gula, biskut dan makanan dalam tin," katanya.

Menurutnya, urusan memuat naik barangan ke pesawat bermula seawal 5 pagi oleh anggota Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang.

"Penerbangan dikendalikan oleh Mejar Khairul Ikhmal selaku juruterbang dan dibantu Kapten Muhd Izwan selaku pembantu juruterbang.

"TUDM melaksanakan penghantaran bantuan yang sama pada 11 Februari lalu dalam usaha membantu penduduk di Sabah yang terjejas berikutan pandemik Covid-19.

"Semoga kerjasama bersepadu semua pihak dalam menyalurkan bantuan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan negara sentiasa diutamakan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 3:23 PM