Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Mahaizura Abd Malik
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyuraian murid sebaik tamat persekolahan adalah cabaran utama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebaik sesi persekolahan dibuka semula tahun ini.

Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr Radzi Jidin berkata, justeru KPM sudah mengesyorkan kaedah terbaik kepada sekolah untuk memastikan aktiviti itu berjalan lancar dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Menurutnya, KPM juga memohon kerjasama ibu bapa, pemimpin masyarakat dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIGB) untuk bersama memainkan peranan signifikan dalam memastikan sesi persekolahan tahun ini berjalan lancar dan selamat.

"Cabaran utama sewaktu penyuraian murid ketika tamat waktu sekolah kerana ramai ibu bapa tuggu di luar yang dibimbangi tiada penjarakan sosial.

"Kementerian (Pendidikan) syorkan kepada sekolah kaedah terbaik untuk pastikan penyuraian lancar dan SOP dipatuhi.

"Semua cadangan masyarakat juga diperhalusi kementerian dan jika kita bersatu sesi persekolahan ini akan berjalan dengan baik," katanya dalam sidang media pengumuman tarikh sesi persekolahan, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Radzi berkata, KPM juga berharap semua pihak dapat bersatu untuk memastikan sesi persekolahan dapat dijalankan dengan baik.

Beliau berkata, kerjasama ini membolehkan sesi pembelajaran bersemuka dapat diteruskan semula.

Menurutnya, meja di setiap kelas juga sudah dijarakkan bagi membolehkan penjarakan fizikal dibuat.

Katanya, murid juga masih perlu makan di dalam kelas ketika rehat dan tidak berkumpul untuk makan di kantin seperti kebiasaan.

"Bagi ibu bapa yang ada anak di asrama, mereka (murid) berada dalam gelembung yang selamat dan biarkan mereka kekal di asrama sehingga tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 5:38 PM