Ziyan Syamil mengakui sedih dan hilang semangat apabila disahkan positif pada Januari lalu. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Ziyan Syamil mengakui sedih dan hilang semangat apabila disahkan positif pada Januari lalu. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Bekas pesakit Covid-19, Ziyan Syamil Zakhli, 26, mengakui sedih dan hilang semangat apabila disahkan positif dijangkiti virus itu pada Januari lalu.

Anak kedua daripada tiga beradik itu sama sekali tidak menyangka akan dijangkiti virus itu kerana sudah mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memakai peralatan perlindungan diri (PPE) ketika bertugas membawa pesakit.

Menceritakan kembali pengalamannya, Ziyan Syamil yang juga Pegawai Pemerintah Tertinggi GM Medic Rescue berkata, dia disahkan dijangkiti Covid-19 pada 16 Januari lalu sebelum sembuh sepenuhnya pada 26 Januari lalu.

"Saya mula mengalami gejala seperti sengal-sengal badan, sakit tekak, hilang deria bau dan rasa sebelum mengambil keputusan melakukan 'swab test' pada 16 Januari.

"Sebaik disahkan positif, saya dihantar ke pusat kuarantin di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato' Razali Ismail, Kuala Nerus sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu kerana menghadapi masalah pernafasan pada 19 Januari.

"Saya turut dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di HSNZ, Kuala Terengganu selama dua hari kerana menghadapi masalah pernafasan sebelum dipindahkan wad biasa," katanya.

Selain kesakitan ketika diserang Covid-19 yang tidak dapat dilupakan, Ziyan Syamil berkata, pengalaman yang diperolehnya ketika menerima rawatan bersama pesakit yang lain juga menjadi memori tidak dapat dilupakan dalam hidupnya.

"Apabila disahkan positif, memang takut sebab kita tahu ia boleh membawa maut namun rasa takut itu hilang kerana suasana di sana jauh berbeza dan saya dikelilingi dengan aura positif.

"Kami saling memberi sokongan dan kehidupan lebih teratur kerana kami bersama-sama menunaikan solat berjemaah dan turut sama bersukan.

"Petugas kesihatan dan keselamatan juga sangat membantu sehingga rasa sedih yang bersarang di hati hilang," katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana diberi peluang kedua dan membuatkan dirinya lebih dekat kepada Allah SWT.

"Alhamdulillah, selepas saya kembali sihat dan diisytiharkan bebas Covid-19, saya dapat rasakan perubahan kepada badan yang terasa lebih ringan dan sihat.

"Sebagai bekas pesakit, saya harap masyarakat tidak menyisihkan individu yang dijangkiti Covid-19 sebaliknya bersama-sama memberikan sokongan untuk mereka melawan virus ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 5:25 PM