RSN Rayer hadir ke Mahkamah Sesyen Butterworth bagi pengurusan kes salah guna kuasa Lim Guan Eng dan Betty Chew Gek Cheng serta ahli perniagaan, Phang Li Koon. FOTO Nur Izzati Mohamad
RSN Rayer hadir ke Mahkamah Sesyen Butterworth bagi pengurusan kes salah guna kuasa Lim Guan Eng dan Betty Chew Gek Cheng serta ahli perniagaan, Phang Li Koon. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menetapkan 28 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes salah guna kuasa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid menetapkan tarikh itu selepas pihak pembelaan memerlukan masa tiga bulan bagi meneliti lebih 100 dokumen bercetak yang sudah diterima daripada pihak pendakwaan pada Selasa (16 Februari) lalu.

Ahmad Azhari juga menetapkan tarikh sama terhadap sebutan semula kes isteri Guan Eng, Betty Chew Gek Cheng yang didakwa melakukan kesalahan pengubahan wang haram dan ahli perniagaan, Phang Li Koon yang didakwa bersubahat dengan Guan Eng.

Ketika prosiding pengurusan kes hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim dan Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan bahawa pihaknya sudah menyerahkan lebih 100 dokumen bercetak mengandungi lebih 1,000 muka surat kepada kedua-dua pihak pembelaan pada Selasa lalu.

Pihak pembelaan yang diwakili RSN Rayer dan A Ruben Kumar kemudian memohon masa tiga bulan bagi meneliti kesemua dokumen itu termasuk menasihati tertuduh.

Mahkamah bersetuju serta pihak pendakwaan juga tidak membantah dengan permintaan berkenaan kerana turut mengambil kira situasi pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, pihak pembelaan juga menyatakan akan memfailkan permohonan interlokutori dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, pihak pendakwaan turut memberitahu, apabila semua dokumen sudah selesai diteliti pihak pembelaan serta tidak ada perkara berbangkit lain maka pihaknya akan memohon tarikh perbicaraan kes itu.

Semasa prosiding, Guan Eng, Betty dan Li Koon tidak hadir kerana mendapat pengecualian mahkamah.

Pada 11 Ogos 2020, Lim Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima suapan RM372,000 bagi membolehkan sebuah syarikat ditawarkan projek.

Mengikut pertuduhan, Guan Eng, 60, yang juga pada ketika itu sebagai Pengerusi Lembaga Tawaran Penang Development Corporation (PDC), menggunakan kedudukannya untuk suapan wang bagi isterinya iaitu Betty Chew Gek Cheng melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Ia bagi memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan Sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang bernilai RM11,610,000 yang mana Betty secara tidak langsung mempunyai kepentingan.

Guan Eng dituduh melakukan kesalahan itu di antara Ogos 2013 dan 3 Mac 2016 di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR).

Bagi kesalahan itu, Guan Eng didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Ahli Perniagaan, Phang Li Koon pula didakwa bersubahat dengan Guan Eng dalam melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh sama.

Manakala Betty didakwa atas tiga pertuduhan melakukan penggubahan wang haram berjumlah RM372,000 yang dimasukkan ke akaun bank miliknya.

Semua kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) Akta yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 2:24 PM