Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kerajaan akan terus memantau dan mengukuhkan pelaksanaan insiatif di bawah MyDigital dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dalam memastikan ia mencapai matlamatnya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembinaan infrastruktur digital itu menjadi tulang belakang dalam membentuk ekosistem digital mampan sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi lestari.

"Kerajaan akan terus membantu pengukuhan ekosistem baru ini dengan beberapa cara termasuk memupuk persekitaran pengawal seliaan yang mendukung penggunaan digital sambil melindungi privasi warganegara.

"Mentadbir sumber data awam supaya boleh dimanfaatkan bersama organisasi awam dan swasta serta memudahkan evolusi pasaran buruh dalam industri yang kemungkinan terganggu oleh automasi dan teknologi digital," katanya pada Majlis Pelancaran MyDigital dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia secara maya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, kerajaan akan memastikan syarikat digital yang terbabit dengan kerajaan, berusaha gigih untuk membantu rakyat Malaysia meningkatkan kemahiran digital.

Muhyiddin melancarkan  MyDigital dan Rangka Tindakan (BluePrint) Ekonomi Digital Malaysia secara dalam talian.
Muhyiddin melancarkan MyDigital dan Rangka Tindakan (BluePrint) Ekonomi Digital Malaysia secara dalam talian.

"Syarikat ini antaranya akan menjalinkan kerjasama dengan universiti tempatan bagi mewujudkan Fakulti Artificial Intelligence dan sebagainya serta bekerjasama dengan kerajaan untuk melaksanakan program peningkatan kemahiran pekerja," katanya.

Menurutnya, kerajaan juga memberikan tumpuan utama kepada aspek keselamatan siber dan data dalam merealisasikan visi negara berteknologi digital.

"Data rakyat akan dikendalikan dengan penuh hemat berdasarkan piawaian keselamatan yang ditetapkan kerajaan melalui agensi pelaksana iaitu Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

"Di sini saya ingin memberi jaminan, kerajaan amat komited dalam memantau keselamatan sistem pengurusan data ini untuk mengelak sebarang ancaman siber masa depan," katanya.

Katanya, dalam menghadapi kemunculan ekosistem digital masa depan, semua pihak berkepentingan perlu mengadaptasi secepat mungkin dalam menghadapi cabaran sebuah negara yang terhubung.

"Ingin saya tekankan inisiatif MyDigital melalui Rangka Tindakan Ekonomi Digital ini mengandungi pelan pendekatan senegara.

"Saya berharap semua rakyat Malaysia dapat memanfaatkan teknologi digital ini sepenuhnya dan cekal mendepani peralihan ke ekonomi digital.

"Walaupun sektor awam dan swasta mungkin memainkan peranan yang berbeza tetapi kita harus tetap senada dan sehaluan.

"Saya yakin kerangka dasar yang merangkumi pembentukan infrastruktur, memperjelaskan kawal selia serta pemudahcara pembentukan ekosistem, akan dapat memberi negara, halatuju yang diperlukan untuk merealisasikan visi digital ini," katanya.

Berita berkaitan:

  • Kerajaan bakal perkenalkan MY Device
  • MyDigital: 4 inisiatif wujudkan ekosistem digital berkesan
  • MyDigital sasar buka 500,000 peluang pekerjaan
  • MyDigital sasar buka 500,000 peluang g pekerjaan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 12:48 PM