MUHAMMAD Azamirudin menggunakan sumbangan diterima daripada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP (Metro Prihatin) untuk mengembangkan perniagaannya. FOTO Ihsan Muhammad Azamirudin Ismail
MUHAMMAD Azamirudin menggunakan sumbangan diterima daripada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP (Metro Prihatin) untuk mengembangkan perniagaannya. FOTO Ihsan Muhammad Azamirudin Ismail
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: "Sejak kisah saya disiarkan Harian Metro, perniagaan saya mendapat sambutan memberangsangkan," kata pemuda orang kurang upaya (OKU) Cerebral Palsy (CP), Muhammad Azamirudin Ismail .

Muhammad Azamirudin, 28, dia turut berterima kasih dan bersyukur menerima sumbangan RM5,000 daripada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP (Metro Prihatin) baru-baru ini.

Katanya, dia kini meneruskan perniagaan menjual ikan laga dan kasut di pasar malam dan pasar tani di sekitar Bandar Puteri Jaya , Sungai Petani, Kedah seperti biasa mengikut ketetapan prosedur operasi standard (SOP) daripada kerajaan.

Di samping itu, Muhammad Azamirudin turut menjual minyak wangi secara dalam talian di rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menambah pendapatan.

"Alhamdulillah, perniagaan saya bertambah baik dan bukan hanya penduduk setempat yang datang ke gerai tetapi ramai juga dalam kalangan pelanggan membeli secara dalam talian.

"Bukan setakat itu, kisah saya turut mendapat perhatian daripada pelbagai pihak, salah satunya syarikat pembekal minyak wangi berpangkalan di Kedah yang memberi peluang untuk menjalin kerjasama sebagai rakan niaga dan ikon usahawan OKU di utara," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhammad Azamirudin berkata, sumbangan diterima juga digunakan sebaiknya untuk melaksanakan projek penternakan ikan laga secara sendiri sejak sebulan yang lalu.

Katanya, hampir 100 ikan laga dibiakkan dan kini menunggu hasilnya sebelum dijual.

"Projek penternakan ikan laga ini dilakukan di kawasan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sungai Petani dibantu oleh rakan OKU dan guru PPDK.

"Saya berazam menyalurkan hasil jualan kepada tabung dana kebajikan pertubuhan PPDK sekiranya penternakan pembiakan ikan hiasan ini berjaya menghasilkan pendapatan," katanya.

MUHAMMAD Azamirudin giat membantu golongan kurang bernasib baik menerusi penyampaian sumbangan barangan keperluan asas. FOTO Ihsan Muhammad Azamirudin Ismail
MUHAMMAD Azamirudin giat membantu golongan kurang bernasib baik menerusi penyampaian sumbangan barangan keperluan asas. FOTO Ihsan Muhammad Azamirudin Ismail

Berhubung hala tujunya, Muhammad Azamirudin berkata, selain mengembangkan perniagaan, fokus utamanya adalah membantu golongan senasib supaya tidak tercicir dan dapat berdikari menjana pendapatan bagi menampung kehidupan.

"Golongan OKU mungkin sukar bersaing dengan individu normal tetapi kebanyakan mereka ada kemahiran dan kebolehan yang boleh diketengahkan.

"Sekiranya mereka memerlukan bantuan sokongan moral dan bimbingan perniagaan, saya sedia membantu.

"Malah, saya kini giat mendekati golongan kurang bernasib baik dengan kerja amal bagi memberi semangat dan menyampaikan sumbangan kewangan hasil keuntungan perniagaan saya," katanya.

Pada 11 Disember lalu, portal Harian Metro menyiarkan kisah Muhammad Azamirudin yang gigih mencari rezeki dengan berniaga di tapak pasar malam dan pasar tani sekitar Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani.

Muhammad Azamirudin yang berkerusi roda tidak bersendirian kerana ada kalanya dibantu rakan dan ahli keluarga.

Orang ramai boleh terus menyalurkan sumbangan ke akaun Affin Islamic Bank 1052 8000 4378 atas nama Media Prima-NSTP Humanitarian Fund (Metro Prihatin) atau cek kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad di Balai Berita.

Berita berkaitan

Berkerusi roda tak halang Azamirudin cari rezeki [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 6:00 PM