DR Adham (kanan) menunjukkan notis perintah tutup sementara berikutan penularan Covid-19 pekerja premis tersebut di Pulau Indah. Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Shaari Ngadiman (kiri). FOTO Bernama
DR Adham (kanan) menunjukkan notis perintah tutup sementara berikutan penularan Covid-19 pekerja premis tersebut di Pulau Indah. Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Shaari Ngadiman (kiri). FOTO Bernama
BERNAMA

Pelabuhan Klang: Pengusaha kilang disaran mengambil inisiatif dengan menutup operasi masing-masing sekiranya terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan pekerja mereka.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, tindakan itu bukan sahaja mampu menurunkan kes dalam sektor perkilangan dan pembuatan tetapi secara tidak langsung mampu menyekat penularan wabak dalam kalangan komuniti.

Beliau berkata, sektor tersebut adalah penyumbang tertinggi kepada jumlah kes positif harian di mana sehingga semalam daripada 41,396 kes aktif keseluruhan yang direkodkan, 14,423 kes adalah daripada sektor itu.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenal pasti sebanyak 203 kluster kilang dan pembuatan daripada keseluruhan 236 kluster yang masih aktif bagi gelombang ketiga ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau sebuah kilang di Pulau Indah di sini yang ditutup secara sukarela hari ini berikutan 57 daripada 102 pekerja dikesan positif COVID-19 sejak kelmarin.

Dalam perkembangan lain, Dr Adham berkata, satu punca penurunan kes aktif COVID-19 kebelakangan ini, adalah susulan penutupan operasi kilang ketika perayaan Tahun Baharu Cina minggu lalu.

Bagaimanapun, katanya, KKM masih menjalankan aktiviti saringan di lapangan seperti sebelum ini.

Semalam, negara merekodkan 2,998 kes baharu Covid-19 dan 22 kematian, menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 272,163 kes dan jumlah kematian sebanyak 1,005 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 5:33 PM