GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sindiket pengedaran dadah yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) beralih kepada perkhidmatan kurier, pengangkutan penghantaran barangan, e-hailing, parti haram dan jualan dalam talian sebagai kaedah pengedaran terbaru.

Modus operandi itu dikesan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) melalui siasatan dan risikan dilakukan sepanjang pelaksanaan perintah itu tahun lalu.

Pengarah JSJN Datuk Razarudin Husain berkata, sepanjang tahun lalu sebanyak 84 kes dan 103 tangkapan membabitkan sindiket pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan kurier berjaya ditumpaskan.

Katanya, pada tahun ini, sebanyak lima kes dan empat tangkapan sudah berjaya dilakukan.

"Sindiket turut berselindung di sebalik pengangkutan penghantaran barang penting dan keperluan asas menggunakan lori yang membuat pergerakan rentas daerah serta negeri.

"Sindiket menggunakan perkhidmatan e-hailing pula akan menyembunyikan dadah dalam bungkusan makanan atau barang yang dihantar untuk mengaburi mata pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Razarudin berkata, sindiket pengedaran juga beralih kepada penganjuran parti haram di kondominium mewah berikutan pusat hiburan tidak dibenarkan beroperasi.

Beliau berkata, buktinya seramai 1,135 individu ditahan atas kesalahan dadah di parti haram sepanjang tahun lalu.

"Kecanggihan teknologi terkini dilihat membawa kesan negatif dalam usaha pembanterasan dadah yang mana pembelian dadah dibuat secara dalam talian.

"Terdapat beberapa laman e-dagang popular yang menjalankan penjualan dan pembelian dadah secara terbuka di dalam talian," katanya.

Justeru, beliau berkata, pihaknya sentiasa berusaha mengesan pelbagai bentuk kegiatan penyeludupan dadah dan pengedaran melalui siasatan maklumat risikan yang rapi serta profesional.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 11:07 AM