AZAHREE (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Muhammad Zuhairi sambil diperhatikan Hamdan di Dewan SMK Datuk Mansor, Bahau. FOTO Mohd Khidir Zakaria
AZAHREE (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Muhammad Zuhairi sambil diperhatikan Hamdan di Dewan SMK Datuk Mansor, Bahau. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


Bahau: "Saya tidak sangka, sebaik kisah saya dalam keluar dalam portal MyMetro semalam, ramai yang menghubungi dan ingin membantu," kata Muhammad Zuhairi Apyanto, 19, pelajar yang hidup sebatang kara selepas ditinggalkan ibu bapa.

Menurutnya, dia turut menerima sumbangan daripada pihak sekolah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam bentuk kewangan.

"Sejak berita itu tersiar, ramai pihak menghubungi saya termasuk beberapa individu yang bersimpati kerana saya terpaksa bekerja sambil belajar.

"Sebenarnya saya bernasib baik dapat kerja dan disediakan sebuah bilik oleh majikan yang sentiasa mengambil berat. Majikan saya adalah suami kepada guru yang memahami kesulitan hidup saya.

"Mereka sangat baik dan saya juga tidak menghadapi masalah pembelajaran kerana mereka (majikan) sangat memahami," katanya ketika dihubungi tadi.

Katanya, dia sudah berjumpa dengan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Mansor, Hamdan Aziz dan Yang Dipertua PIBG, Azahree Kamarudin pagi tadi.

"Alhamdulillah, semua pihak mahu tolong dan mereka semua ambil berat mengenai saya membuatkan saya amat terharu.

"Tidak lupa kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyumbang serta Harian Metro kerana secara tidak langsung banyak membantu sehingga saya rasa benar-benar dihargai," katanya.

Semalam kisah Muhammad Zuhairi yang hidup sebatang kara dan tinggal di sebuah bilik di restoran tempat dia bekerja mendapat perhatian sebuah NGO, PERKASIH N9 yang menyumbang tablet untuk kegunaan pembelajaran.

Sementara itu, Azahree berkata, dia dihubungi Pengetua SMK Datuk Mansor malam tadi memberitahu kisah pelajar yang tular.

"Memang saya ada terlihat di Facebook tetapi tak sangka pula pelajar itu dari sekolah ini dan hari ini kami terus bertindak mengutip dana melalui guru sekolah bagi membantunya.

"Daripada maklumat guru, pelajar ini tidak pernah mendatangkan masalah dan dia memang pelajar yang baik.

"Pihak sekolah juga akan memastikan Muhammad Zuhairi mengambil lesen motosikal bagi kemudahannya ke sekolah," katanya.

Katanya, dia juga menghargai usaha PERKASIH N9 yang cuba membantu pelajar itu.

"Kita amat alu-alukan bantuan mungkin di lain masa pihak sekolah melalui PIBG dapat bekerjasama bersama NGO ini bagi membantu pelajar yang tercicir.

"Terima kasih juga kepada pengusaha kantin yang sanggup menaja makanan kepada pelajar ini sepanjang dia belajar," katanya.

Berita berkaitan

Pelajar hidup sebatang kara terima sumbangan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 4:30 PM