MANGSA mengalami kecederaan di mata kanan. FOTO ihsan polis
MANGSA mengalami kecederaan di mata kanan. FOTO ihsan polis
Juwan Riduan


Beaufort: Mata kanan lelaki berusia 39 tahun disahkan buta selepas dipukul rakan dengan batang penyapu hanya kerana tidak melawan ketika dimarahi penyelia di tempat kerja, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa pada awalnya dikatakan minum minuman keras di rumah rakannya di Kampung Benonok, di sini.

Bagaimanapun, pergaduhan tercetus selepas rakannya itu mempersoalkan sikap mangsa yang tidak melawan ketika dimarahi penyelia di tempat kerja kira-kira dua bulan lalu.

Laporan polis dibuat oleh ibu mangsa semalam, selepas dihubungi oleh mangsa mengenai kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, siasatan awal mendapati suspek yang tidak puas hati dengan mangsa mencabar untuk bergaduh.

Katanya, suspek kemudiannya mematahkan sebatang penyapu sebelum menyerang mangsa yang ketika itu cuba melarikan diri.

Azmir berkata, suspek memukul mangsa di bahagian muka dan terkena pada mata kanannya.

Katanya, mangsa kemudiannya melarikan diri ke rumah jiran untuk meminta pertolongan sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Doktor yang membuat pemeriksaan mengesahkan mata mangsa yang cedera sudah rosak dan akan mengalami kecacatan yang kekal," katanya.

Azmir berkata, bertindak atas laporan polis yang dibuat oleh ibu mangsa, polis menahan suspek.

"Suspek berusia 39 tahun ditahan di Jalan Kompleks Sukan Beaufort, jam 8.30 malam semalam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 1:36 PM