Dr Noor Hisham Abdullah.
Dr Noor Hisham Abdullah.
Muhaamad Hafis Nawawi danMahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan pihaknya tidak lagi melaksanakan ujian Covid-19 ke atas mereka tidak bergejala sebaliknya kelewatan menjalankan ujian kerana memberi keutamaan kepada yang bergejala.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, salah faham itu timbul kerana di negeri yang banyak kes sebagai contoh di Sabah dan Selangor keutamaan ujian akan diberi kepada mereka yang ada gejala dahulu sementara yang tiada gejala tetapi ada kontak rapat dinasihatkan menjalani kuarantin.

Menurutnya, jika dilihat melalui saringan pekerja warga asing sebanyak 90 peratus saringan dijalankan ke atas mereka yang tidak bergejala dan hanya 10 peratus sahaja bergejala.

"Jadi apa yang kita jalankan ketika kes bertambah akan berlaku kelewatan dari segi melaksanakan ujian Covid-19 kerana memberi keutamaan kepada kes positif dan bergejala.

"Manakala yang kes positif tidak ada gejala keutamaan itu agak kurang dan itu kita laksanakan di Sabah dan Lembah Klang tetapi di negeri lain masih menjalankan pengesanan kontak rapat dan menjalankan ujian termasuk kepada mereka yang tidak bergejala," katanya pada sidang media Covid-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, KKM menggunakan dua jenis ujian iaitu RT-PCR dan RTK-Antigen di mana RTK-Antigen sudah mula digunakan di negara ini sejak Mei tahun lalu dan menunjukkan peningkatan menggunakan kaedah itu dalam saringan.

"Jadi di lapangan kita menggunakan RTK-Antigen manakala di hospital menggunakan RT-PCR di mana sebanyak 23 makmal swasta dan 13 makmal universiti menjalankan ujian RT-PCR," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 8:30 PM