Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Kawalan di sempadan Malaysia-Thailand dekat Kelantan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) diperkasa dengan penggunaan dron.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar berkata, teknologi itu akan membolehkan pihaknya mendapatkan gambaran lebih luas dari udara sekali gus melancarkan tugasan anggota mengekang penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

Katanya, pemakluman operasi itu juga dibuat kepada pihak berkuasa negara jiran bagi mengelak salah faham yang membawa kepada konflik dua negara.

"Setakat ini, kita baru beberapa kali menggunakan khidmat Pasukan Gerakan Udara (PGU) Subang untuk membantu menerbangkan dron di kawasan yang dikenal pasti dan nyata ia berkesan apabila terdapat aktiviti penyeludupan yang berjaya digagalkan.

"Sebaik dron dilepaskan, pemerhatian dari atas dijalankan dan jika terdapat sebarang pergerakan yang mencurigakan, pasukan PGA di darat terus bertindak mengepung kawasan yang menjadi sasaran.

"Baru-baru ini pasukan PGA9 (Batalion 9) menumpaskan penyeludupan kain batik bernilai RM28,800 hasil tinjauan melalui dron dan strategi sebegini akan diteruskan lagi pada masa akan datang," katanya yang ditemui pada Majlis Serah Terima Tugas antara Batalion 9 PGA dan Batalion 8 PGA (PGA8) di Markas PGA Lubok Stol di sini, hari ini.

HASAN Basri (tengah)menaikkan dron sambil dibantu anggota daripada Unit Udara PDRM (UUP) ketika ditemui di Markas PGA Lubok Stol. FOTO Syaherah Mustafa
HASAN Basri (tengah)menaikkan dron sambil dibantu anggota daripada Unit Udara PDRM (UUP) ketika ditemui di Markas PGA Lubok Stol. FOTO Syaherah Mustafa

Hasan Basri berkata, pihaknya bersedia menghantar anggota untuk menjalani latihan penggunaan dron dalam memantau sempadan.

Dalam pada itu, katanya, dalam tempoh sebulan penugasan PGA9 di sempadan itu bagi Ops Benteng, berjaya menumpaskan 69 kes penyeludupan dan merampas barangan dan ternakan bernilai lebih RM4.1 juta.

Menurutnya, menerusi Ops Benteng tahun lalu, PGA turut menahan 137 pendatang asing tanpa izin (Pati) membabitkan 73 warga Thailand, 29 Kemboja, 24 Myanmar dan 11 lain-lain negara serta menahan 15 tekong tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 4:52 PM