X
Vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19. FOTO AFP
Vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19. FOTO AFP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 akan diterima dalam penghantaran pertama ke Malaysia pada 21 Februari depan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, vaksin berkenaan akan diterbangkan dengan penerbangan MASKargo ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan ia akan diasingkan sebelum dihantar ke pelbagai tempat penyimpanan vaksin di seluruh negara.

"Seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kita akan menerima penghantaran vaksin Pfizer pertama pada 21 Februari.

"Pihak tentera dan polis akan mengawal dan menjamin keselamatan vaksin sejak dari awal hingga ke peringkat akhir," katanya dalam catatan di Twitternya.

Khairy berkata, terdapat vaksin lain yang melalui proses kawal selia di bawah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

"Semoga kita dapat menambahkan vaksin lain pada fasa pertama," tambahnya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan hari ini, berkata beliau akan menerima suntikan vaksin itu pada hari pertama pelaksanaan program berkenaan, bersama-sama petugas barisan hadapan.

Fasa pertama bermula Februari hingga April ini membabitkan petugas barisan hadapan, diikuti fasa kedua bermula April hingga Ogos, bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi serta golongan orang kurang upaya.

Sementara fasa ketiga, bagi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas bermula dari Mei ini hingga Februari tahun depan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 2:55 PM