GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nor Haidya Syafira Amir


Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) meramalkan fenomena cuaca panas yang dialami ketika ini dijangka berterusan sehingga pertengahan Mac ini.

Ketua Pengarah MET Malaysia Jailan Simon berkata, negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut susulan itu taburan hujan agak rendah di Semenanjung Malaysia terutama di utara Semenanjung.

"Taburan hujan yang rendah dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan cuaca agak panas, terutamanya pada waktu malam apabila terdapatnya litupan awan.

"Mahupun begitu, kami tidak menjangkakan keadaan cuaca panas luar biasa akan berlaku pada tahun ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, sehingga kini, suhu tertinggi bagi Februari lebih rendah berbanding tahun lalu.

"Suhu tertinggi pada Februari ini adalah 36.2 darjah celsius manakala pada tahun lalu adalah 37.4 darjah celsius yang dicerap di Stesen Meteorologi Kuala Kangsar, Perak.

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengambil langkah penjimatan dalam penggunaan air, mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka, mengurangkan aktiviti di luar dan minum air secukupnya," katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial MET Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 9:56 PM