Mohd Amin Jalil


Seremban: Tiada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Negeri Sembilan yang dikesan dijangkiti Covid-19 atau dikuarantin kerana wabak itu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Md Fiah Md Jamin berkata, setakat ini 17,000 pelajar di negeri ini bakal menduduki peperiksaan SPM 2020 mulai 22 Februari ini.

Menurutnya, semua sekolah terbabit dengan peperiksaan SPM 2020 sudah bersiap sedia daripada segala aspek terutama dewan dan kelengkapan lain yang diperlukan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Satu taklimat mengenai persiapan itu turut juga diadakan hari ini. Ibu bapa atau penjaga juga diharap dapat memberikan kerjasama memaklumkan tahap kesihatan anak masing-masing sebelum peperiksaan SPM dijalankan, bagi mengelak sebarang kemungkinan atau mengganggu pelajar lain yang berada dalam bilik peperiksaan itu nanti.

"Walaupun terdapat empat sekolah menengah di Seremban, Jelebu, Kuala Pilah dan Rembau di sanitasi baru-baru ini, namun keadaan pelajar di lokasi terbabit bebas daripada jangkitan Covid-19," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan penyerahan surat perlantikan dan amanat pengarah kepada guru baharu sekolah rendah (SK) dan menengah (SM) 2021 secara pandu lalu, di SK Sri Sendayan, di sini, hari ini.

Seramai 91 guru baharu menerima surat pelantikan itu secara pandu lalu.

Mengenai penempatan guru baharu, beliau berkata seramai 12 orang guru akan ditempatkan di SM dan 79 di SK seluruh negeri ini.

"Ini adalah pengambilan siri kedua tahun ini bagi SM manakala siri pertama bagi SK, dengan keseluruhannya daripada kedua-dua siri itu membabitkan lebih 200 orang guru baharu.

"Mereka datang dari seluruh negara dan penempatan berasaskan keperluan sesebuah sekolah yang masih memerlukan guru," katanya.

MD Fiah Md Jamin (kiri) menyampaikan surat penempatan guru baharu Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah secara pandu lalu di SK Bandar Sri Sendayan. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
MD Fiah Md Jamin (kiri) menyampaikan surat penempatan guru baharu Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah secara pandu lalu di SK Bandar Sri Sendayan. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Mengenai sesi pembelajaran dalam talian atau PdPR di negeri itu, Md Fiah berkata pihaknya akui terdapat pelajar di kawasan tertentu terutama di pedalaman menghadapi masalah kerana liputan internet yang kurang baik dan lemah.

"Memang ada kalangan murid dan pelajar yang terpaksa mengikuti PdPR di luar rumah termasuk pergi di kawasan berbukit bagi mendapatkan liputan internet sekali gus memberikan cabaran kepada mereka dan setiap guru.

"Bagaimanapun, guru perlu melaksanakan PdPR ini mengikut kesesuaian di penempatan masing-masing untuk memastikan tiada murid atau pelajar yang tercicir mengikutinya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 4:07 PM