Raja Noraina Raja Rahim dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Dasar Perpaduan Negara menggariskan usaha berterusan untuk memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan rakyat, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, dasar itu selaras dasar utama negara seperti Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, Rancangan Malaysia Lima Tahun dan dasar lain yang berkuat kuasa.

Seiring penggubalan itu, Kementerian Perpaduan Negara menghasilkan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2030 yang menyokong strategi dan menetapkan aspirasi perpaduan ingin dicapai dalam tempoh 10 tahun.

"Tiga objektif utama ditetapkan dalam dasar yang berkonsepkan 'Perpaduan Dalam Kepelbagaian', antaranya mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan serta Rukun Negara.

"Selain itu, membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi, saling menghormati dan bertanggungjawab serta melahirkan rakyat yang menghargai dan mengamalkan perpaduan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2021-2030 yang disiarkan secara maya di Facebook Kementerian Perpaduan Negara, hari ini.

Menurut Muhyiddin, kerjasama pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), swasta dan pemegang taruh berkaitan amat diperlukan bagi memastikan objektif itu tercapai.

"Rakyat Malaysia sejak sekian lama berpegang kepada Rukun Negara iaitu percaya kepada Tuhan; Setia kepada Raja dan negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan undang-undang dan Bersopan dan bertatasusila.

"Tidak kiralah Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, Iban, Murut, Melanau, orang asal atau mana-mana etnik sekalipun, bergelar warganegara Malaysia, maka inilah ciri yang wajib kita hayati.

"Kerajaan amat menyedari akan hakikat bahawa perpaduan adalah tunjang kemakmuran negara, maka (konsep) 'Perpaduan dalam kepelbagaian' yang berteraskan model integrasi inilah yang kita hasratkan untuk rakyat Malaysia," katanya.

Justeru, beliau menyeru semua masyarakat menjadi ejen menyebarkan semangat perpaduan dalam keadaan amat mencabar ketika ini, selain berdoa supaya Malaysia terus makmur dan kekal kukuh sebagai negara bersatu padu serta harmoni.

Berita berkaitan

Waspada manipulasi sentimen kaum: PM

Covid-19 serlahkan perpaduan sebenar rakyat Malaysia [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 11:00 AM