SHAHROM Neeza (kanan) mengambil baju dibelinya di rumah rakannya, Mohd Aliff.
SHAHROM Neeza (kanan) mengambil baju dibelinya di rumah rakannya, Mohd Aliff.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: "Saya juga peniaga, jadi faham perasaan dia apabila kurang penonton dan tiada pelanggan membeli ketika bersiaran langsung," kata peniaga barangan terpakai, Shahrom Neeza Anak Ali.

Shahrom, 26, memberi reaksi sedemikian apabila mengulas tindakannya memborong baju bernilai RM1,100 daripada seorang peniaga pakaian terpakai, semalam.

Kisah itu mendapat perhatian warganet dan tular di laman sosial selepas Shahrom memuat naik hantaran di Facebook (FB) dengan ramai memuji kerana membantu serta menyokong jualan peniaga lain .

Bercerita lanjut, Shahrom yang menetap di Sandakan, Sabah berkata, peniaga berkenaan Mohd Aliff Sumino, 25, adalah rakannya dan pernah membeli ketika dia bersiaran langsung, sebelum ini.

Menurutnya, dia menganggap apa dilakukannya sekadar membalas jasa rakannya yang pernah menyokong perniagaannya.

"Saya masih berjaga ketika dia (Mohd Aliff) bersiaran langsung di FB kira-kira 2 pagi semalam.

"Ketika itu, dia mendukung anaknya yang sedang menangis dan hampir mengakhiri siaran langsung kerana tidak ramai yang menonton dan membeli baju-T jualannya.

"Melihat keadaannya yang gigih berusaha mencari rezeki membuatkan saya sebak lalu memborong kesemua barangan tanpa melihat satu persatu baju berkenaan dengan harga RM1,100," katanya.

Shahrom berkata, dia membuat hantaran kisah itu di FB untuk berkongsi pengalaman dan bukannya menunjuk wang yang ada.

Namun, Shahrom tidak menyangka perkongsiannya itu menjadi tular dan sehingga kini dikongsi hampir 5,000 warganet .

"Saya tidak minta hantaran saya menjadi tular sebaliknya sekadar berkongsi realiti kehidupan peniaga barangan terpakai yang sebahagiannya susah untuk mencari makan.

"Niat saya hanya untuk membantu dan berkongsi rezeki lebih yang ada, itu saja kerana saya suka mempermudahkan urusan orang lain sebelum diri sendiri.

"Semoga perkongsian itu membuka mata ramai pihak untuk terus memberi sokongan kepada semua peniaga lain," katanya.

Sementara itu, Mohd Aliff berkata, dia terharu dengan kesudian Shahrom memborong kesemua baju jualannya, semalam.

Katanya, ia kerana dia menyangkakan Shahrom berseloroh, sebaliknya bersungguh-sungguh mahu memborong baju jualannya.

"Sebenarnya, sesi siaran langsung awal pagi semalam adalah yang keempat selepas tiga kali percubaan sebelum itu gagal membuahkan hasil.

"Saya hampir menamatkan siaran langsung, tetapi Shahrom masuk menonton dan kemudian memborong semua baju jualan saya.

"Ingatkan dia (Shahrom) main-main tetapi serius dan saya terharu kerana memang amat perlukan wang untuk perbelanjaan pada waktu itu," katanya yang bertugas sebagai budak pejabat di Jabatan Perhutanan Sabah.

Mohd Aliff yang juga bapa tiga anak itu berkata, dia sebenarnya hampir berputus asa untuk berniaga kerana jumlah pulangan diterima adakalanya tidak berbaloi.

"Saya berniaga secara sambilan sejak hampir setahun lalu untuk menambah pendapatan, namun ada ketikanya terpaksa menjual baju pada harga bawah modal disebabkan terpaksa .

"Ada juga terfikir untuk berhenti menjual, namun Shahrom salah seorang rakan yang memberi semangat untuk saya teruskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2021 @ 7:25 PM