PASANGAN berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
PASANGAN berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
Juwan Riduan


Beaufort: Lelaki sanggup lari meninggalkan kekasihnya sebaik nekad merempuh anggota polis dalam kejadian di Kilometer 1, Jalan Lumatai, Beaufort - Sipitang, di sini, semalam.

Kejadian 7.50 pagi itu menyebabkan anggota polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Beaufort luka di tangan.

Teman wanita suspek berusia 21 tahun pula ditahan di tempat kejadian, manakala lelaki berusia 23 tahun itu ditahan di Jalan Kompleks Sukan Beaufort, pada 9 malam.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan anggota BSPT IPD Beaufort sedang menjalankan Op Motosikal.

Katanya, polis mengarahkan seorang lelaki yang menunggang motosikal dan membonceng

wanita, yang datang dari arah jambatan baharu Kampung Lumatai berhenti untuk pemeriksaan.

"Dengan tiba-tiba, penunggang memecut laju dan melanggar anggota polis yang berada di tengah jalan dan menyebabkan seorang anggota polis jatuh terlentang di atas jalan raya.

"Penunggang dan pembonceng turut terjatuh. Lelaki terbabit kemudian bangun dan melarikan diri ke kawasan semak di tepi jalan lalu menghilangkan diri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmir berkata, suspek bagaimanapun ditahan 9 malam tadi di Jalan Kompleks Sukan Beaufort.

Katanya, akibat kejadian itu juga, anggota polis terbabit turut mengalami kecederaan luka di bahagian tangan serta sakit di bahagian belakang, pinggul dan kaki sehingga terpaksa dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Beaufort.

"Wanita berusia 21 tahun dipercayai kekasih suspek turut ditahan, manakala motosikal ditunggang suspek dirampas untuk siasatan lanjut.

"Siasatan ke atas suspek mendapati dia tidak memiliki lesen dan mempunyai rekod jenayah lampau berkait dadah dan curi kenderaan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2021 @ 9:23 AM