MOHD Redzuan sempat (dua kanan) sempat bergambar dengan replika Lembu emas di Pavilion ketika meninjau masyarakat cina membuat persiapan menyambut Tahun baru Cina pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0. FOTO ASWADI ALIAS
MOHD Redzuan sempat (dua kanan) sempat bergambar dengan replika Lembu emas di Pavilion ketika meninjau masyarakat cina membuat persiapan menyambut Tahun baru Cina pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0. FOTO ASWADI ALIAS
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Tubuh Program Sukarelawan Pemerkasaan Komuniti bertujuan memberi pendidikan kepada masyarakat dalam membantu mengekang penularan wabak Covid-19.

Itu antara usaha kerajaan dalam mendorong masyarakat turut sama menghalang penularan Covid-19 di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, program berkenaan akan membabitkan pasukan sukarelawan seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk peringkat permulaan.

Menurutnya, pemerkasaan pasukan sukarelawan itu bukan saja berperanan menyampaikan mesej kepada masyarakat malah membantu pihak berkuasa menguatkuasakan peruntukan sedia ada.

"Kami beri mereka maklumat dan latihan sebelum bertemu komuniti untuk memastikan masyarakat bersama-sama menghalang penularan Covid-19.

"Ia sudah bermula di peringkat negeri dan daerah. Mereka bukan saja menyampaikan mesej terapi turut membantu memantau, melakukan pengesanan kontak menggunakan sistem sedia ada," katanya selepas program walkabout di Pavillion di sini, tadi.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Datuk Roslan Wahab.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata, pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin setempat dan anggota masyarakat akan turut serta dalam program pendidikan dan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) serta pematuhan pencegahan Covid-19.

Beliau berkata, pendekatan ini bertujuan menyedarkan masyarakat yang mereka bertanggungjawab menjaga keselamatan dan kesihatan dalam komuniti.

"Kehadiran anggota komuniti itu bukan untuk menghukum tapi beri kefahaman normal baharu dan bahaya virus Covid-19.

"Ada kumpulan tak faham, jadi mereka tidak patuh kepada SOP dan inilah yang kita kena pantau. Kalau masih berdegil kita terpaksa menghukum mereka guna undang-undang sedia ada. Kita tidak mahu mereka yang degil ini menjadi agen pembawa wabak serta membahayakan orang lain," katanya.

Katanya, program berkenaan akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat dan dilaksanakan secara menyeluruh.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 5:21 PM