SULTAN Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua yang meraikannya. FOTO IHSAN SELANGOR ROYAL OFFICE
SULTAN Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua yang meraikannya. FOTO IHSAN SELANGOR ROYAL OFFICE
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua yang meraikannya.

Dalam satu kenyataan Istana Alam Shah di facebook Selangor Royal Office, baginda mendoakan kehidupan seluruh rakyat dan negara yang lebih baik serta kemakmuran yang lebih besar.

"Tahun Baru Cina adalah waktu berkumpul dan mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga. Tradisi indah yang diturunkan dari generasi ke generasi yang membantu mengingatkan anak muda kita tentang pentingnya keluarga," menurut kenyataan itu hari ini.

Dalam meraikannya dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), baginda juga mengharapkan rakyat Malaysia tenang tetapi berwaspada ketika negara melaksanakan langkah untuk menjaga keselamatan dan kesihatan semua pihak.

"Baginda berdua berharap seluruh rakyat mengingati mereka yang membuat pengorbanan peribadi untuk menjaga keselamatan negara kita semasa wabak ini terutama barisan hadapan termasuk anggota penguatkuasaan undang-undang, kakitangan hospital, pekerja pembersihan dan ramai lagi.

"Baginda juga mengingatkan orang ramai akan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar menjauhkan diri dari tempat yang sesak dan tempat terkurung serta menjaga jarak ketika berbual dengan tetamu," katanya.

Titah baginda, biarpun negara sedang berdepan keadaan luar biasa ketika ini, apabila semua pihak bekerjasama kita akan dapat menamatkannya.

"Baginda juga mengajak seluruh rakyat menggunakan peluang ini untuk memulakan sesuatu yang baharu.

"Dengan semangat itu, baginda mendoakan kesihatan, keselamatan, kejayaan dan kebahagiaan seluruh rakyat di tahun baru ini. Semoga kekayaan dan kemakmuran menjadi milik semua," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 4:25 PM