GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Seramai 589 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi operasi pematuhan di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada keseluruhan tangkapan, seramai 543 individu dikompaun manakala 42 lagi dijamin.

"Antara kesalahan direkodkan, tiada penjarakan fizikal (184), tidak memakai pelitup muka (130), rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (64), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (56) dan premis beroperasi lebih masa serta tanpa kebenaran (36).

"Kesalahan lain ialah keluar rumah tanpa alasan munasabah (25), aktiviti pusat hiburan (13), membawa penumpang berlebihan (11), ingkar perintah kuarantin (7) dan lain-lain kesalahan (63)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 71,836 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP, semalam.

"Sebanyak 6,209 restoran, pasar raya (4,196), bank (4,063), penjaja (2,823), kilang (1,741) dan pejabat kerajaan (979) dipantau.

"Turut dipantau ialah 1,146 terminal pengangkutan darat, 298 terminal pengangkutan air dan 102 terminal pengangkutan udara," katanya.

Mengenai Operasi Benteng (Op Benteng), beliau berkata, seramai 55 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dan merampas tujuh kenderaan darat serta tiga bot, semalam.

"Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 88 bot dan kapal asing di perairan negara melalui 11 aktiviti penglihatan," katanya.

Sementara itu, katanya, seramai 438 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan mereka dikuarantin di stesen kuarantin di seluruh negara.

Mengenai saringan wajib pekerja asing, beliau berkata, seramai 10,321 warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 semalam, yang mana 43 daripadanya positif Covid-19.

Tambah beliau, secara kumulatifnya Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 342,537 pekerja warga asing menjalani ujian saringan yang membabitkan 15,297 majikan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 6:09 PM