Masidi Manjun.
Masidi Manjun.
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kos pengurusan jenazah pesakit Covid-19 di Sabah yang didakwa terlalu mahal berpunca daripada bayaran dikenakan syarikat pengurusan jenazah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, syarikat terbabit mengenakan bayaran tertentu apabila waris menggunakan perkhidmatan mereka.

Katanya, jabatan kesihatan atau hospital, tiada bayaran diminta daripada waris bagi pengendalian jenazah Covid-19.

"Caj pengangkutan dikenakan apabila ahli keluarga jenazah memilih menggunakan perkhidmatan syarikat pengurusan jenazah bertauliah bagi membawa jenazah dari hospital ke tapak pengkebumian.

"Prosedur pengangkutan sehingga pengkebumian adalah diselia ketat pegawai dari Jabatan Kesihatan Negeri Sabah," katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 Sabah, di sini, malam tadi.

Beliau mengulas dakwaan waris jenazah pesakit Covid-19 di Sabah yang mendakwa terpaksa membayar kos tinggi untuk pengurusan jenazah ahli keluarga mereka.

Menurutnya, sehingga kini belum ada sebarang laporan mengenai dakwaan itu diterima pihak berkuasa.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menjelaskan bahawa tiada bayaran dikenakan bagi pengendalian jenazah kes Covid-19 melainkan ahli keluarga sendiri memilih menggunakan perkhidmatan syarikat pengurusan jenazah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 9:25 AM