Kedua lelaki yang ditahan selepas didapati memandu dalam keadaan mabuk di Kilometer 2, Jalan Air Kuning - Rantau, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Kedua lelaki yang ditahan selepas didapati memandu dalam keadaan mabuk di Kilometer 2, Jalan Air Kuning - Rantau, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Tidak hanya melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malah dua lelaki dikesan turut berada dalam keadaan mabuk ketika merayau menaiki sebuah kereta.

Kedua-dua mereka ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol di Kilometer 2, Jalan Air Kuning - Rantau di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian jam 9.40 malam itu, polis menahan sebuah kereta model Proton Saga Iswara dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pemandu lelaki berusia 59 tahun dan penumpang berusia 65 tahun kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.

"Kedua-dua mereka dibawa ke Balai Trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson sebelum diarahkan menjalani ujian saringan alkohol," katanya.

Menurutnya, bacaan ujian saringan alkohol mendapati kedua-dua mereka mengambil akohol melebihi kadar dibenarkan.

"Kedua-dua lelaki terbabit yang sudah berkahwin dan tidak bekerja juga dikenakan kompaun atas kesalahan mengikut Seksyen 11 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana bergerak tanpa suatu alasan dan kebenaran yang sah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 45A(1)Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 4:47 PM