YEOW Geok Eng menerima limau daripada Nor Azman di Kampung Gelam, Tanjung Kling. FOTO Hassan Omar
YEOW Geok Eng menerima limau daripada Nor Azman di Kampung Gelam, Tanjung Kling. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar

Melaka: Menjelang sambutan Tahun Baru Cina Jumaat hadapan, masyarakat komuniti Tionghua di negeri ini, akur dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang perayaan berkenaan.

Suasana hambar pasti dirasai apabila mereka tidak boleh menerima kehadiran anak dan saudara mara dari negeri lain susulan larangan rentas negeri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yeow Geok Eng, 73, berkata, dia terpaksa menerima hakikat anak perempuannya yang bekerja di Ipoh, Perak tidak dapat pulang

ke kediamannya di Kampung Lereh, Tanjung Kling di sini, pada perayaan itu kelak.

"Cuma dua anak lelaki saya masing-masing tinggal di Paya Rumput dan Batang Tiga, di sini, dapat mengunjungi saya pada Tahun Baru Cina kali ini.

"Memang saya sedih... tetapi apa boleh buat. SOP harus dipatuhi semasa PKP sekarang," katanya ketika menerima limau sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan di kediamannya di kampung itu semalam.

Seorang lagi penduduk, Ong Soon Hiap, 59, berkata, dia terpaksa menerima hakikat dua anak lelakinya yang menetap di Kuala Lumpur tidak dapat pulang ke kediamannya di Kampung Gelam di sini, susulan larangan rentas negeri.

"Mujur ada isteri dan dua anak yang tinggal berhampiran kampung ini. Sekurang-kurangnya kami tidak kesunyian pada perayaan itu," katanya.

Lim Chua, 61, berkata, dia juga sedih kerana anak lelakinya di Johor Bahru tidak dapat pulang ke kediamannya di Kampung Pantai Rombang di sini, pada perayaan itu.

Sementara itu Nor Azman berkata, dia menyediakan 180 kotak limau untuk diagihkan kepada anggota komuniti Tionghua di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor.

Katanya, pematuhan SOP berkenaan penting bagi memutuskan rantaian pandemik berbahaya itu, sekali gus mengurangkan jumlah kes positif Covid-19 di negeri ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2021 @ 6:14 PM