Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Memindahkan minyak masak bersubsidi ke dalam botol dan menjualnya dengan harga mahal serta menggunakan logo halal tanpa kebenaran antara kesalahan dilakukan sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak, di sini.

Bertindak melalui risikan, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang dengan kerjasama polis menyerbu premis berkenaan pada jam 2 petang tadi dan menahan pemilik dan seorang pekerja untuk siasatan lanjut.

Pengarah KPDNHEP negeri, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, kilang yang beroperasi sejak tiga tahun lalu itu didapati melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab sejak dua bulan lalu. "Ketika serbuan didapati pekerja kilang sedang memindahkan minyak paket bersubsidi ke dalam botol berkapasiti dua dan lima kilogram (kg) menggunakan jenama syarikat itu yang ia menjadi satu kesalahan.

"Memandangkan harga minyak masak botol bukan dalam kawalan pihak kita, ia menyebabkan pihak syarikat melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab ini.

"Tambahan pula, dengan situasi kenaikan harga minyak masak dunia, pihak syarikat itu dipercayai mahu mengambil kesempatan bagi mengaut keuntungan sekali ganda lalu melakukan penyelewengan ini," katanya pada sidang media selepas menjalankan operasi di kilang berkenaan, di sini, hari ini.

 MOHD Ridzuan (kiri) menunjukkan minyak masak bersubsidi yang sudah dipindahkan ke dalam botol. FOTO Nur Izzati Mohamad
MOHD Ridzuan (kiri) menunjukkan minyak masak bersubsidi yang sudah dipindahkan ke dalam botol. FOTO Nur Izzati Mohamad

Menurutnya, semua minyak masak itu adalah untuk pasaran kedai runcit sekitar negeri ini.

Mohd Ridzuan berkata, dalam operasi sama, kilang terbabit turut dipercayai menggunakan logo halal tanpa kebenaran pada produk rempah ratus yang dikeluarkan.

"Secara keseluruhannya, melalui operasi ini KPDNHEP negeri menyita 7,771 plastik kosong minyak masak bersubsidi, 617 botol minyak masak dan 420 bungkus rempah ratus yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM27,000.

"Bagi aktiviti memindahkan minyak masak bersubsidi ia adalah kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan 1961 manakala logo halal tanpa kebenaran pula akan disiasat di bawah Perkara 4(1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011," katanya

Dalam pada itu, Mohd Ridzuan mengingatkan semua syarikat pemborong minyak masak bersubsidi supaya tidak melakukan penyelewengan ke atas barangan bersubsidi yang ditanggung kerajaan untuk rakyat.

"Selain itu, pengilang juga diingatkan supaya mendapatkan sijil halal daripada pihak yang diberi kuasa sekiranya ingin menggunakan logo halal dalam produk mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2021 @ 5:56 PM