GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membenarkan pertambahan jemaah solat Jumaat kepada separuh daripada kapasiti sebenar masjid dan surau Jumaat dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.

Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, jemaah solat fardu lima waktu turut ditambah kepada separuh daripada kapasiti dewan solat utama masjid, surau Jumaat dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.

Katanya, aktiviti tazkirah sebelum solat Jumaat juga dibenarkan diadakan selama 30 minit di masjid, surau Jumaat dan surau yang diberikan kebenaran khas untuk solat Jumaat.

"Semua ketetapan ini berkuat kuasa bermula dengan solat Jumaat pada 5 Februari 2021 tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat yang ditetapkan selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Ia juga berdasarkan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustaffa Billah Shah.

"Marilah kita semua terus berdoa agar penularan wabak Covid-19 dalam negara segera berakhir," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 12 Januari lalu, Jawi mengumumkan solat Jumaat di masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan dibenarkan dengan bilangan maksimum 30 jemaah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Manakala, solat fardu lima waktu didirikan oleh bilangan maksimum lima orang yang terdiri daripada anggota jawatankuasa dan pegawai masjid.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 7:07 PM