Suraya Roslan dan Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kerajaan bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan perubatan swasta untuk menggunakan hospital, klinik, makmal, kepakaran, perkhidmatan dan sumber manusia bagi meringankan beban ditanggung Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam menghadapi situasi pandemik kerajaan mesti memastikan sistem kesihatan sentiasa bersedia dan mampu menampung kemasukan pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di hospital.

"Dengan trend kenaikan kes positif pada masa ini, sistem kesihatan di negara kita hampir mencapai 'breaking point'.

"Hospital Covid-19 termasuk Unit Rawatan Rapi hampir mencapai kapasiti 100 peratus dan keadaan ini mesti ditangani segera supaya sistem kesihatan negara kita tidak lumpuh," katanya dalam perutusan khas hari ini.

Menurutnya, salah satu daripada perkara penting dalam pelaksanaan darurat ialah peruntukan dalam Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang membenarkan penyumberluaran sementara kemudahan kesihatan swasta oleh kerajaan.

"Ini meliputi hospital, klinik, makmal, sumber manusia, perkhidmatan dan aset yang difikirkan perlu untuk mempertingkatkan kecekapan pengurusan pandemik.

"Bagaimanapun, penyumberluaran ini bersifat sementara sehingga tempoh darurat tamat," katanya.

Menurutnya, konsep hospital kluster antara hospital di bawah KKM akan diperluaskan bagi merangkumi hospital awam lain seperti hospital universiti, hospital angkatan tentera dan hospital swasta yang akan digunakan untuk merawat pesakit Covid-19.

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

"Hospital swasta akan diletakkan di bawah pengoperasian Hospital Kluster dengan sektor awam di bawah Pusat Kawalan Covid-19 Bersepadu," katanya.

Menurutnya, bagi tujuan mengurangkan tekanan ke atas hospital kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk merawat pesakit Covid-19, KKM mula bekerjasama dengan 31 hospital swasta untuk penyumberluaran rawatan sebahagian daripada pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta.

"KKM memperuntukkan sejumlah RM27 juta pada 2021 bagi tujuan ini.

"Selain itu, bagi pengurusan dan rawatan pesakit Covid-19 di hospital swasta, KKM mendapat kerjasama yang baik daripada hospital swasta di seluruh negara.

"Setakat 3 Februari lalu, hospital swasta bercadang menyediakan 1,344 katil di wad biasa dan 65 katil di ICU," katanya.

Katanya, selain itu, kemudahan makmal kerajaan dan swasta juga sedang digembleng untuk meningkatkan kapasiti pelaksanaan ujian saringan Covid-19.

"Pada masa ini sebanyak 68 makmal kerajaan dan swasta di negara ini mempunyai kapasiti untuk melaksanakan 76,805 ujian saringan setiap hari.

"Kerajaan akan meningkatkan lagi keupayaan makmal kerajaan dan swasta untuk melaksanakan ujian saringan Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 4:54 PM