Mohd Rafi Mamat


Pekan: Menjelajah ke 13 kampung Orang Asli di pedalaman dengan perjalanan paling jauh 15 kilometer setiap minggu antara cabaran dilalui 15 guru Sekolah Kebangsaan (SK) Mambang, di sini bagi menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Melalui jalan dalam hutan yang sempit, berlumpur dan dinaiki air turut menguji keberanian terutama guru wanita yang sebelum ini tidak pernah sampai ke kawasan pedalaman itu.

Guru Besar SK Mambang, Zafran Zainuddin, 53 berkata, bagi memastikan murid tidak ketinggalan dalam pelajaran sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) guru perlu berkorban untuk menjelajah ke setiap kampung walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Katanya, kini terdapat seramai 126 murid Orang Asli menetap di 13 kampung dan 127 murid Melayu berada di 10 kampung, mereka memerlukan bimbingan secara berterusan terutama selepas kerajaan menangguhkan sementara sesi persekolahan.

"Setiap minggu guru akan bergilir ke setiap kampung Orang Asli untuk mengajar selain menghantar kertas kerja latihan murid termasuk menyerahkan buku teks untuk mereka membuat ulangkaji sebelum berpeluang ke sekolah.

"Guru terpaksa berkorban membantu murid Orang Asli sepanjang PKP ini kerana kebanyakan mereka tidak memiliki kemudahan komputer riba dan telefon bimbit, kampung yang jauh di pedalaman turut menyebabkan capaian internet terlalu lemah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas memantau proses PdPR di Kampung Orang Asli Tasik Mentiga, di sini semalam.

Lima guru terbabit mengajar murid di dalam pondok yang disediakan penduduk kampung.

Zafran menambah, SK Mambang dianggap bertuah kerana memiliki dua guru Orang Asli, Nur Adilla Tan Abdullah dan Aida Bakar yang banyak membantu melancarkan proses PdPR dengan murid Orang Asli di 13 kampung masyarakat berkenaan.

Bagi Nur Adilla, 51, banyak cabaran yang terpaksa dihadapi setiap kali berkunjung ke kampung Orang Asli untuk mengajar murid namun demi tugas dan tanggungjawab semuanya tetap diharungi.

"Dikejar anjing antara cabaran setiap kali berkunjung ke Kampung Orang Asli, saya terpaksa meminta bantuan penduduk setempat untuk menghalau haiwan belaan mereka.

"Disebabkan licin rakan saya pernah terjatuh dalam paya ketika meniti jambatan, kami juga terpaksa melalui perjalanan hingga 15 kilometer untuk sampai ke kampung paling hujung sekali," katanya yang berpengalaman selama 24 tahun sebagai guru.

Menurutnya, setiap kali berkunjung ke kampung Orang Asli untuk mengajar ada ketikanya murid tidak keluar rumah, guru terpaksa memujuk dan menyediakan makanan sebagai upah bagi menarik minat mereka.

ZAFRAN Zainuddin (kanan) memantau proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) oleh Aida Bakar bagi murid Orang Asli di Kampung Tasik Mentiga. FOTO MOHD RAFI MAMAT
ZAFRAN Zainuddin (kanan) memantau proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) oleh Aida Bakar bagi murid Orang Asli di Kampung Tasik Mentiga. FOTO MOHD RAFI MAMAT

Rakannya Ahmad Farnizan Mohamad, 41 berkata, walaupun penat menunggang motosikal untuk sampai ke kampung Orang Asli yang jauh di pedalaman namun perasaan puas dan seronok terpancar apabila dapat bertemu murid walaupun jumlah mereka tidak ramai.

"Selain mengajar secara bersemuka pihak sekolah juga ada menyediakan kertas kerja latihan untuk disiapkan murid, sebagai guru saya ingin melihat murid Orang Asli berjaya dalam pelajaran, PKP bukan halangan untuk terus ketinggalan dalam pelajaran," katanya yang sebelum ini bertugas di Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 10:37 AM