PASANGAN suami isteri itu dibawa ke HKL. FOTO Ihsan Bomba
PASANGAN suami isteri itu dibawa ke HKL. FOTO Ihsan Bomba
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan pasangan suami isteri warga emas yang terperangkap dalam kejadian kebakaran di Pojek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Permai, Pantai Dalam di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian yang menyebabkan bahagian ruang tamu rumah musnah 100 peratus, suami melecur di bahagian badan dan muka manakala isterinya hanya mengalami sesak nafas .

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kejadian jam 1.24 pagi sebelum menghantar jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai, Jalan Hang Tuah dan Seputeh dengan kekuatan 45 anggota ke lokasi.

Komander Operasi, Mohd Fadli Ghazali berkata, kebakaran membabitkan ruang tamu sebuah rumah yang terletak di tingkat enam.

"Terdapat dua mangsa iaitu suami isteri terperangkap dan berjaya dibawa keluar oleh anggota dengan selamat.

"Mangsa lelaki melecur di badan dan muka manakala mangsa wanita sesak nafas. Mereka dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 2.03 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 10:24 AM