Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Zakat Pulau Pinang (ZPP) akan menyalurkan bantuan kewangan secara bulanan kepada dua beradik mualaf yang menetap di Taman Machang Bubok, di sini, bagi membantu meringankan beban ditanggung.

Jurucakap ZPP berkata, pihaknya segera menjalankan siasatan selepas mendapat berita dilaporkan portal MyMetro hari ini berhubung kesempitan hidup dua beradik itu hingga terpaksa mencatu makanan.

"Untuk makluman saudara baru kita ini tinggal di rumah mualaf yang dikelolakan Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP) selepas memeluk Islam sebelum mereka berdua membuat keputusan kembali tinggal di rumah mereka dua minggu lalu.

"Pada September tahun lalu dua beradik itu ada menerima elaun RM1,500 setiap seorang termasuk menerima elaun kehadiran kelas daripada sumber zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) RM500 hingga RM700 setiap bulan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, memandangkan dua beradik berkenaan tidak mahu lagi menetap di rumah mualaf yang disediakan, maka ZPP akan mempertimbangkan bantuan kewangan secara bulanan.

Dalam pada itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula memaklumkan menaikkan bantuan daripada RM200 kepada RM300 sebulan bermula bulan ini

MyMetro hari ini melaporkan kesempitan hidup Abdul Rahman Lim, 56, dan abangnya, Abdul Rahim Lim, 57, yang terpaksa mencatu makanan kerana berdepan masalah kewangan.

Mereka berdua yang baru memeluk Islam pada Mac tahun lalu turut terpaksa menagih simpati jiran dan masyarakat prihatin terhadap nasib yang menimpa.

Abdul Rahman sukar untuk bekerja memandangkan penglihatannya kurang jelas manakala abangnya pula seorang Orang Kurang Upaya (OKU) apabila kehilangan kaki kiri akibat kemalangan jalan raya.

Dua beradik itu hanya kerap menjamah mi segera dan biskut kering apabila ketiadaan wang.

Berita berkaitan

2 mualaf sekadar alas perut dengan mi segera, biskut kering

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 4:45 PM