GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Tujuh kluster baharu direkodkan hari ini yang dilapor berlaku di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Melaka, Pahang dan Perak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Jalan Ragum dilaporkan di Klang dan Petaling, Selangor dikesan melalui saringan bersasar di sebuah kilang dengan 219 kes dikesan positif.

"Kluster kedua dikenal pasti adalah Kluster Bukit Rahman yang dilaporkan di Kuala Selangor, Petaling dan Gombak, Selangor, hasil saringan di sebuah kilang membabitkan 48 kes positif.

"Kluster ketiga, Kluster Parit Jamil Darat yang dilaporkan di Muar, Johor hasil saringan bersasar di sebuah kilang dengan 26 kes dikesan positif," katanya dalam kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, hasil saringan bersasar di sebuah tapak binaan di tapak binaan mengesan 332 kes positif yang membentuk kluster baharu keempat hari ini iaitu Kluster Tapak Bina Jalan Cheras.

"Kluster kelima yang dikesan adalah Kluster Semarak Bersia yang dilaporkan di Hulu Perak, Perak, hasil saringan kontak rapat dengan 19 kes dikesan positif, manakala satu lagi Kluster Taman Muhibbah di Temerloh dan Kuantan, Pahang selepas 14 kes positif daripada saringan individu bergejala.

"Kluster terakhir dikenal pasti adalah Kluster Industri Serkam yang dilaporkan di Jasin dan Melaka Tengah, Melaka hasil saringan bersasar di sebuah kilang dengan 69 kes dikesan positif dalam kluster berkenaan," katanya.

Beliau berkata, tambahan kluster itu menjadikan keseluruhan 838 kluster aktif sehingga kini dengan 434 kluster disahkan tamat, manakala jumlah kluster aktif adalah 404 kluster.

Menurutnya, empat kluster tamat hari ini adalah Kluster Bukit Angkat, Kluster Tapak Bina Bukit Semenyih, Kluster Tapak Bina Kiara dan Kluster Brumas.

"Sebanyak 70 kluster (daripada kluster aktif) melaporkan pertambahan kes, yang tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Jalan Cheras (332 kes), Kluster Jalan Ragum (210 kes) dan Kluster Jalan Seroja (204 kes)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 7:21 PM