GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Amin Jalil

Seremban: Lebih 19,000 pekerja asing daripada pelbagai sektor di Negeri Sembilan belum menjalani ujian saringan Covid-19 sejak ia diwajibkan bermula 1 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Sembilan, S Tharumarajan berkata, setakat ini sekitar 62 peratus daripada keseluruhan 51,000 pekerja asing membabitkan 5,000 majikan yang sudah membuat saringan Covid-19.

"Daripada 51,000 pekerja asing, hanya 31,200 yang sudah menjalani ujian saringan Covid-19 dan masih ramai belum memberikan komitmen untuk menjalankan ujian saringan itu seperti ditetapkan pihak berkuasa.

"Walaupun Negeri Sembilan tidak mencatatkan kes harian tinggi berbanding negeri lain, majikan yang belum berbuat demikian perlu segera bertindak melaksanakan ujian saringan ini," katanya, hari ini.

Dalam laporan media sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, majikan diwajibkan membiayai semua kos suntikan vaksin kepada pekerja masing-masing termasuk ujian pengesanan Covid-19.

Beliau dipetik berkata, ia selaras dengan Seksyen 24J(f) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Sehubungan itu, Tharumarajan menasihatkan semua majikan yang belum melakukan ujian saringan Covid-19 bagi pekerja mereka supaya berbuat demikian sebelum akhir bulan ini.

Beliau berkata, jabatan itu dan semua agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia, termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP) akan melaksanakan operasi dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas majikan gagal berbuat demikian.

"Jika mereka (majikan) gagal, boleh didakwa mengikut Akta 342 di bawah peruntukan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan No 9 2020 Perkara 10," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 3:21 PM