KHAIRY JAMALUDDIN
KHAIRY JAMALUDDIN
Mohd Amin Jalil


Rembau: Rembau melangkah setapak lagi ke hadapan apabila bakal menjadi daerah Nirtunai menerusi pelbagai inisiatif dalam DigitalRembau.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) merangkap Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, DigitalRembau akan dibangunkan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Rembau bagi mengimplementasi integrasi teknologi transaksi dan perhubungan.

Katanya, ia berhasrat memperkasa kemahiran dan keupayaan komuniti dalam sistem teknologi digital sebagai satu percubaan untuk mengharungi revolusi Industri 4.0 dengan lebih baik melalui tranformasi digital dalam kehidupan seharian.

"Penularan pandemik Covid-19 sejak awal tahun lalu jelas menjejaskan dunia termasuk Malaysia, namun terbukti mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital.

"Justeru, Rembau tidak mahu ketinggalan dalam arus peredaran itu dan kita mewujudkan DigitalRembau sebagai satu percubaan untuk mengimplementasikan teknologi dalam kehidupan harian masyarakat di daerah ini.

"Buat permulaan, projek ini menyasarkan kepada penekanan ekonomi digital dan mengaktifkan transaksi digital bagi memberi pengalaman serta kemudahan kepada pengguna, peniaga, penjaja dan penduduk setempat," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Khairy berkata, inisiatif lain termasuk pembayaran tanpa tunai seperti kad debit membabitkan Touch 'n Go, QR Pay dan pengaktifan infaq tanpa tunai di masjid serta sumbangan kepada rumah ibadat.

Beliau berkata, DigitalRembau dijangka akan memberi manfaat kepada sekitar 1,500 peniaga dan penjaja terutama dalam sektor informal di daerah berkenaan.

"Menerusi inisiatif ini, kita akan dapat melihat pelbagai pelaksanaan lain secara digital di daerah ini secara berperingkat.

"DigitalRembau ini bukan hanya slogan atau kempen semata-mata tetapi ke arah matlamat mewujudkan gaya hidup lebih segar dan berjaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 5:49 PM