ANTARA pengunjung diperiksa dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Kota Damansara yang beroperasi secara haram, semalam.  FOTO IHSAN PDRM
ANTARA pengunjung diperiksa dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Kota Damansara yang beroperasi secara haram, semalam. FOTO IHSAN PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Keseronokan sekumpulan pengunjung sebuah pusat hiburan yang beroperasi secara haram di Kota Damansara, di sini, terbantut apabila diserbu pihak berkuasa, semalam.

Dalam serbuan 11.10 malam, polis memeriksa seramai 41 individu dalam pusat hiburan terbabit selepas menerima maklumat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menahan empat lelaki serta seorang wanita tempatan berusia antara 24 hingga 42 tahun yang bekerja di premis itu.

Menurutnya, selain itu tujuh lelaki dan lapan wanita warga asing iaitu pelanggan berusia antara 21 hingga 48 tahun turut ditahan untuk siasatan.

"Polis turut merampas 16 kad pekerja, 10 resit pembayaran bertarikh 30 Januari 2021 serta peralatan audio.

"Selain itu, kami turut mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada 21 individu warga tempatan berusia antara 22 hingga 48 tahun yang juga pelanggan pusat hiburan berkenaan.

"Tindakan diambil mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, daripada 41 individu yang diperiksa, enam individu membabitkan seorang lelaki tempatan serta dua lelaki dan tiga wanita warga asing didapati positif dadah jenis methaphetamin.

"Siasatan awal mendapati pusat hiburan itu mula beroperasi secara haram sejak tujuh hari lalu dengan waktu operasi antara 7 malam hingga lewat pagi.

"Pelanggan yang mahu datang perlu membuat tempahan terlebih dahulu dan dikehendaki hadir sebelum 9 malam dan tidak dibenarkan keluar dari premis sehingga lewat pagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1995, Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 55B serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Saya memberi amaran kepada orang ramai di daerah (Petaling Jaya) ini supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

"Kegagalan mematuhi arahan ini membolehkan orang ramai dikompaun RM1,000 atau ditahan dan seterusnya didakwa di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 6:57 PM