Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan sebarang bentuk kaedah perubatan Islam dan tradisional bagi merawat pesakit Covid-19, perlu dibuktikan keberkesanannya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jika mahu menggunakan perubatan Islam atau tradisional, ia mestilah berdasarkan kepada dalil yang kukuh dan bukti boleh diguna pakai.

Beliau berkata, perlu ada kajian untuk mengetahui keberkesanan dan kesan sampingan ubat perubatan tradisional yang digunakan untuk merawat pesakit Covid-19.

"Contohnya, apabila kita menggunakan vaksin ia perlu kepada kajian fasa klinikal ketiga barulah kita boleh melihat kesan sampingan dan keberkesanan vaksin berkenaan.

"Begitu juga dengan kaedah rawatan Islam yang digunakan dan perlu dilaksanakan kajian terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Timbalan Exco Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kelantan, Hilmi Abdullah mencadangkan selain rawatan moden, perubatan secara Islam boleh digunakan sebagai salah satu alternatif untuk dipertimbangkan kerajaan bagi merawat pesakit Covid-19.

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham berkata, situasi semasa jangkitan Covid-19 di Kelantan tidak memerlukan pertambahan PKRC, sebaliknya apa yang diperlukan adalah peralatan dan petugas.

"Setakat ini di Kelantan masih belum ada keperluan untuk menambah PKRC disebabkan PKRC sekarang masih ada keupayaan untuk menampung jumlah pesakit Covid-19 dalam memberikan perkhidmatan terbaik.

"Namun perlu dipertingkatkan daripada aspek sumber manusia dan peralatan perubatan.

"PKRC di PUTIK masih belum penuh dan ada keupayaan untuk menampung pesakit Covid-19, tetapi jika perlu kita boleh tambah di daerah lain.

"Selain itu, di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai masih ada lima ruang Unit Rawatan Rapi (ICU) yang kosong, cumanya kita memerlukan peralatan dan kepakaran serta jururawat terlatih untuk ditempatkan di situ," katanya.

DR Noor Hisham menunjukkan playcard 'Lindungi Diri, Lindungi Semua’ selepas disuntik vaksin Pfizer-BioNTech di Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya. FOTO Bernama
DR Noor Hisham menunjukkan playcard 'Lindungi Diri, Lindungi Semua’ selepas disuntik vaksin Pfizer-BioNTech di Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 6:11 PM