Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Empat individu termasuk seorang wanita ditahan dalam serbuan berasingan yang membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM3.67 juta di sekitar daerah ini, pada 27 Januari lalu.

Serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Kedah antara 10.45 hingga 11.55 pagi hari sama.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, semua mereka yang juga rakyat tempatan berusia antara 32 hingga 33 tahun itu ditahan berdasarkan susulan tangkapan operasi di Selangor, sebelum ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berhenti melakukan tangkapan kerana setiap sindiket dadah yang ditahan akan dibuat susulan dengan kaitan sindiket terbabit.

"Tiga daripada suspek berkenaan ditahan di rumah manakala seorang lagi ditahan di tepi jalan dan mereka mempunyai hubungan sebagai kawan.

"Kita akan pastikan hasil operasi dan tangkapan serta rampasan dilakukan dapat memutuskan bekalan pengedaran dadah di negara ini.

"Lokasi serbuan dan rampasan itu bukan tempat memproses, tetapi lebih kepada pembungkusan dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, di sini, hari ini.

Razarudin berkata, hasil pemeriksaan menemui pelbagai jenis dadah iaitu ekstasi (11.18) kilogram (kg), ketamin 17.8kg, Erimin 5 (20.22kg), minuman jus (20.15kg) dan mushroom (410 gram).

Beliau berkata, semua dadah berkenaan bernilai RM3.67 juta dan dianggarkan untuk kegunaan 198,036 penagih dadah.

"Kita percaya dadah berkenaan untuk edaran di sekitar Kedah dan Pulau Pinang berdasarkan maklumat setakat ini.

"Hasil siasatan, kita percaya mereka yang ditahan ini bergiat aktif sejak September tahun lalu," katanya.

Razarudin berkata, pihaknya turut merampas lapan kenderaan iaitu sebuah BMW 118i, Honda CRV, Honda Accord, Honda City, Honda Civic, Toyota Camry, Perodua Myvi dan motosikal berkuasa tinggi (KTM 900) yang semuanya bernilai RM484,400.

Beliau berkata, turut dirampas wang tunai bercampur-campur berjumlah RM4,000 untuk membantu siasatan.

"Nilai keseluruhan dadah, lapan kenderaan dan wang tunai dirampas berjumlah RM4.2 juta.

"Semua suspek direman tujuh hari bermula pada 27 Januari lalu sehingga 3 Februari depan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Dua daripada suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis methamphetamine (syabu) serta ketamin dan setakat ini, rampasan dadah ini adalah yang terbesar di Kedah pada tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 2:17 PM
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain (tiga dari kiri) melihat pelbagai jenis dadah yang dirampas bernilai RM3.67 juta yang dirampas dan menahan empat individu dalam serbuan berasingan di daerah Kulim. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain (tiga dari kiri) melihat pelbagai jenis dadah yang dirampas bernilai RM3.67 juta yang dirampas dan menahan empat individu dalam serbuan berasingan di daerah Kulim. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI