TANGKAP layar video yang tular di media sosial. FOTO tular
TANGKAP layar video yang tular di media sosial. FOTO tular
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis menahan seorang lelaki yang juga pengerusi sebuah pertubuhan selepas dia dikesan menjalankan rondaan seperti pegawai polis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pada Jumaat lalu, pihaknya menerima laporan daripada pegawai kanan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berhubung gambar dan video individu yang menjalankan rondaan.

"Video dan gambar berkenaan tersebar di aplikasi Whatsapp memaparkan mereka menjalankan tugasan rondaan dengan menggunakan identiti seperti pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Satu laporan polis dibuat kerana terdapat isu berhubung tindakan individu dan kumpulan itu bertindak sendirian tanpa seliaan pihak PDRM," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, hasil siasatan dijalankan polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 40-an yang juga individu yang tular berkenaan.

"Tangkapan yang dibuat berjaya membawa kepada rampasan pakaian seragam pertubuhan berkenaan.

"Polis kini sedang mengesan ahli pertubuhan itu untuk membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit kini ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 89(c) Akta Polis 1967, Seksyen 25 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 26 Akta Rukun Tetangga 2012.

"Sehubungan itu mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung gambar dan video yang tular boleh berhubung dengan mana-mana balai berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Inspektor Norazwan di talian 013-3928357," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 12:24 PM