EMPAT individu dikompaun kerana melanggar SOP ditetapkan. FOTO ihsan polis
EMPAT individu dikompaun kerana melanggar SOP ditetapkan. FOTO ihsan polis
Roselan Ab Malek


Bentong: Tindakan selamba empat individu melepak tanpa memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal di sebuah kedai di bandar ini mengundang padah apabila dikenakan kompaun, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, tindakan empat individu berumur 38 hingga 59 tahun itu yang jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) dikesan hasil maklumat orang awam pada jam 4.45 petang.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong melakukan pemeriksaan di kedai berkenaan dan mendapati empat lelaki berada dalam premis itu.

"Mereka tidak memakai pelitup muka serta mengabaikan penjarakan fizikal dan perbuatan ini adalah melanggar SOP ditetapkan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP)," katanya melalui satu kenyataan media di sini, hari ini.

Zaiham berkata, individu itu dikompaun mengikut Perkara 16(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Beliau berkata, setakat ini, IPD Bentong sudah mengeluarkan 22 kompaun kepada individu ingkar SOP sejak PKP 2.0 dilaksanakan pada 22 Januari lalu.

Katanya, polis akan terus melakukan pemantauan dan tindakan tegas dikenakan terhadap individu yang masih berdegil melanggar SOP ditetapkan.

"Masyarakat sepatutnya sudah faham dan boleh patuh kepada setiap SOP dan saya menyeru kepada masyarakat Bentong agar patuhi SOP ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 11:14 AM