GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Seorang lelaki bukan sahaja gagal mendapatkan pinjaman RM5,000 yang dijanjikan sebaliknya menanggung kerugian hampir RM14,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket pinjaman tidak wujud.

Kejadian bermula pada awal Januari lalu selepas mangsa berusia 46 tahun yang mahu membuat pinjaman wang berurusan dengan seorang lelaki yang dikenali menerusi aplikasi WhatsApp.

Menurut sumber, mangsa kemudian bersetuju untuk membuat pinjaman RM5,000 sebelum dimaklumkan perlu membuat bayaran RM243 sebulan dalam tempoh selama tiga tahun.

Katanya, mangsa yang bersetuju dengan syarat diberikan suspek itu kemudian diminta membuat bayaran RM800 sebagai wang deposit ke dalam akaun bank diberikan.

"Bagaimanapun, selepas melakukan transaksi di mesin pengeluaran wang automatik (ATM), mangsa dihubungi suspek yang memaklumkan namanya baru dikesan sudah di senarai hitam sebelum diminta memasukkan lagi RM2,000 ke akaun sama.

"Suspek kerap meminta wang dengan memberi pelbagai alasan menyebabkan mangsa menanggung kerugian sebanyak RM13,960 selepas melakukan lima transaksi ke dalam beberapa akaun berbeza diberi suspek.

"Mangsa mula menyedari dirinya ditipu apabila suspek berterusan meminta wang sebelum dia mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan pinjaman wang tidak wujud dan tidak mudah menyerahkan maklumat peribadi secara atas talian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2021 @ 3:17 PM