Majikan di negeri ini mempunyai masa dua minggu bermula hari ini untuk melaksanakan ujian saringan ke atas pekerja asing yang belum berbuat demikian. FOTO NSTP
Majikan di negeri ini mempunyai masa dua minggu bermula hari ini untuk melaksanakan ujian saringan ke atas pekerja asing yang belum berbuat demikian. FOTO NSTP
Hassan Omar

Melaka: Majikan di negeri ini mempunyai masa dua minggu bermula hari ini untuk melaksanakan ujian saringan ke atas pekerja asing yang belum berbuat demikian.

EXCO Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, terdapat 12,447 pekerja asing di sektor keselamatan, perladangan, pembuatan, pembungkusan, pembinaan, kejuruteraan dan perkhidmatan pekerjaan di negeri ini.

Menurutnya, sehingga kini hanya 2,628 pekerja asing menjalani saringan Covid-19 dalam tempoh bermula 19 hingga 27 Januari lalu.

"Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri menubuhkan pasukan petugas khas baru-baru ini bagi mengesan majikan yang belum melakukan saringan ke atas pekerja asing mereka.

"Setakat Rabu lalu, 99 majikan sudah ditemui di sekitar bandar raya Melaka. Ujian saringan Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) hendaklah dijalankan di klinik dan hospital swasta yang menawarkan perkhidmatan saringan dengan kos ditanggung majikan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Program berkenaan dikuatkuasakan Kementerian Sumber Manusia di bawah Akta Pencegahan Dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mencegah penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja asing.

Majikan yang gagal membuat saringan ke atas pekerja warga asing boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya di bawah Peraturan 13(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No.9) (2020).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 5:05 PM