Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid
Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid
Sri Ayu Kartika AmriSuliati Asri dan Ruwaida Md Zain


Kuala Lumpur: Komitmen berterusan kerajaan memperkenalkan pelbagai pakej bantuan kewangan bagi membantu setiap lapisan rakyat di negara ini membuktikan keprihatinan untuk bersama-sama mengharungi penularan pandemik Covid-19 yang masih belum berkesudahan.

Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman berkata, langkah intervensi diambil kerajaan menangani tekanan ekonomi dihadapi sektor perniagaan dan rakyat ketika berlaku pandemik Covid-19 adalah sangat baik serta komprehensif.

Katanya, bantuan diberikan bukan sahaja meliputi pemberian tunai bagi membantu aliran tunai dan pendapatan boleh guna rakyat malah bersifat mesra perniagaan bagi memastikan kelangsungan urus niaga serta pengekalan guna tenaga buruh.

"Hal ini dibuktikan dengan pertambahan jumlah pekerjaan daripada 14.88 juta pada suku kedua 2020 kepada 15.10 juta pada suku ketiga tahun yang sama.

"Selain itu, galakan inovasi perniagaan secara digital dengan program pendigitalan ekonomi berjaya memastikan kelangsungan perniagaan terutama kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," katanya.

Dr Muhammad Daaniyall berkata, secara asasnya, bantuan diberikan berbentuk insentif bagi memastikan perniagaan dan rakyat dapat dibela.

"Bantuan diberikan membantu memastikan rakyat dan perniagaan mempunyai ruang cukup mengharungi ketidaktentuan ekonomi akibat pandemik ini.

"Namun, apa yang lebih penting adalah bagaimana tindak balas diberikan oleh rakyat dan perniagaan untuk meneruskan kehidupan dan urus niaga dalam norma baharu ini, sekali gus meningkatkan produktiviti mereka," katanya.

Beliau berkata, secara amnya, impak positif dapat dilihat dari segi produktiviti buruh.

Menurutnya, data menunjukkan produktiviti buruh meningkat pada suku ketiga 2020 berbanding suku tahunan sebelumnya terutama selepas pembukaan aktiviti ekonomi dan pemberian bantuan dalam pakej rangsangan ekonomi.

"Terdapat dua perkara utama perlu diberikan perhatian iaitu kerajaan harus memastikan bantuan dibelanjakan pada barangan keperluan dan bermanfaat kepada kitaran ekonomi.

DR MUHAMMAD DAANIYALL ABD RAHMAN
DR MUHAMMAD DAANIYALL ABD RAHMAN

"Kedua, meneruskan usaha memperbaiki pasaran buruh tempatan kerana pasaran buruh yang dinamik dan koordinasi dengan baik adalah nadi pemulihan ekonomi pasca-pandemik.

"Bantuan diberikan ketika ini bersifat sementara dan perubahan struktur pasaran buruh perlu diambil kira," katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, tindakan kerajaan memperkenalkan pelbagai pakej rangsangan bertujuan menjaga kebajikan rakyat.

Katanya, tiga objektif sentiasa menjadi inti pati adalah mengekang penularan wabak Covid-19, menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat dan peniaga sama ada kecil atau besar.

"Justeru, kerajaan cuba melakukan yang terbaik bagi mengatasi atau sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kewangan dan bahaya jangkitan yang mana bencana ini bukanlah sesuatu yang kita minta untuk ia berlaku.

"Setiap keputusan diambil akan ada trade off dan kerajaan cuba mengurangkan kesan sampingan terutamanya dari semua sudut ekonomi rakyat apabila langkah perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan," katanya.

Menurutnya, dalam suasana tidak menentu ini, sikap positif penting.

"Apabila seseorang itu positif, ia akan cenderung mengambil pendekatan rasional apabila menghadapi masalah.

"Apabila mereka ini rasional, seseorang itu cenderung mencari jalan penyelesaian dan dengan bantuan kerajaan masalah itu dapat ditangani dengan baik.

"Berdasarkan apa yang telah diumumkan, pihak kerajaan dilihat sentiasa bersedia memperkenalkan pelbagai pakej rangsangan ekonomi sesuai dengan keadaan semasa," katanya.

Kerajaan sebelum ini sudah memperkenalkan pelbagai inisiatif bantuan antaranya Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin (Kita Prihatin), Belanjawan 2021, moratorium automatik, geran khas untuk PKS, Program Subsidi Upah (PSU) dan terbaharu, Pakej Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).

MOHD AMIN HUSSAIN
MOHD AMIN HUSSAIN

Rakyat bersyukur bantuan menyeluruh ringan beban

Pakej bantuan diberi kerajaan kepada rakyat dalam mengharungi penularan pandemik Covid-19 amat membantu pelbagai lapisan rakyat.

Rata-rata penerima bersyukur dan berterima kasih dengan bantuan itu yang menyeluruh.

Pengusaha gerai Majlis Perbandaran Klang, Mohd Amin Hussain

"Alhamdulillah, ketika PKP pertama tahun lalu, saya mendapat bantuan daripada kerajaan RM3,000 menerusi Bantuan Prihatin yang diberikan kepada peniaga berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Bantuan ini diperlukan ketika mendepani Covid-19 apatah lagi dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jualan terhad dan pendapatan berkurangan."

 MOHAMAD KHAIROL ZOLKEFLE
MOHAMAD KHAIROL ZOLKEFLE

Pengusaha Berjaya Burger Sungai Udang Klang, Mohamad Khairol Zolkefle

"Ketika PKP tahun lalu, saya menerima bantuan Geran Khas Prihatin 1.0 dikhaskan kepada semua peniaga.

Geran itu saya fokus kepada pembelian barang niaga dan ada lebihan beli kelengkapan barang perniagaan tidak mencukupi dan ia bermanfaat untuk mengelak gulung tikar."

Pengusaha Tadika Khalifah Impian, Jamalia Ismail

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana bantuan diberikan membantu melancarkan operasi terutama semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tahun lalu.

Oleh itu, bagi mencapai matlamat kerajaan membantu rakyat, kerajaan dan badan diberi mandat perlu memantau sebaiknya supaya pemohon yang layak menerima bantuan selain memudahkan urusan pemohon."

MOHD SHUKRY ROSLAN
MOHD SHUKRY ROSLAN

Pengendali Latihan Profesional, Mohd Shukry Roslan

"PKP dan PKPB membuatkan industri latihan lumpuh, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan moratorium mengurangkan beban komitmen bulanan saya.

Geran Khas Prihatin dan Program Subsidi Upah membantu meringankan kos operasi perniagaan, PKP 2.0 dan darurat ini menjadi lebih sukar dengan moratorium ditentukan oleh pihak bank dan masa depan industri latihan tidak jelas."

Mohd Hafiz Abu Hasan
Mohd Hafiz Abu Hasan

Usahawan PKS, Mohd Hafiz Abu Hasan

"Geran Khas Prihatin 1.0 RM3,000 membantu operasi perniagaan saya daripada segi urusan pembayaran tertunggak dengan pembekal.

I-lestari dan i-sinar membantu kelangsungan hidup rakyat, proses permohonan agak mudah selepas adanya nama di dalam sistem setiap kali permohonan baru atau bantuan baru dikeluarkan."

Pengusaha Pusat Jagaan Koolkidz Childcare Centre, Asuhan Shariffah Asdahlina Habib Ahmad

"Program subsidi upah diberikan membantu melancarkan perniagaan khususnya menjaga kebajikan pekerja.

Dalam keadan sukar ini, kami tidak perlu risau mengenai gaji mereka walaupun aliran tunai syarikat terkesan akibat Covid-19 ia dapat diringankan dengan bantuan diberikan."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 7:10 AM