MUHYIDDIN (gambar fail). FOTO Bernama
MUHYIDDIN (gambar fail). FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri hari ini mengucapkan selamat menyambut perayaan Thaipusam kepada semua penganut Hindu di negara ini yang akan meraikan perayaan itu esok.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Thaipusam salah satu upacara keagamaan bagi penganut Hindu di seluruh dunia dan diraikan pada bulan 'Thai', iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil.

Bagi penganut agama Hindu, katanya, hari Thaipusam adalah peluang untuk mereka menunaikan nazar mengikut kepercayaan agama mereka.

"Pada kebiasaannya upacara ini disambut di Malaysia dengan perarakan penganut agama itu ke kuil-kuil Hindu membawa pedati arca Dewa Murugan, kavadi dan juga 'paal koodam' yang mengandungi susu.

"Tahun ini, sambutannya terpaksa dibuat secara bersederhana tanpa perarakan besar seperti tahun-tahun sebelumnya, bagi mengekang penularan wabak Covid-19," katanya menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi beliau.

Perdana Menteri berharap semoga sambutan Thaipusam tahun ini akan terus memupuk semangat perpaduan sesama rakyat berbilang kaum dan agama serta mengekalkan keharmonian dan kemakmuran Malaysia.

Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih kepada semua penganut Hindu kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan meneruskan upacara keagamaan ini mengikut norma baharu di kediaman masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 11:44 PM