Dr Noor Hisham Abdullah.
Dr Noor Hisham Abdullah.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Sebanyak tujuh lagi kluster baharu penularan Covid-19 direkodkan, hari ini dengan tiga daripadanya berkaitan tempat kerja.

Kluster tempat kerja itu membabitkan Kluster Jalan Cochrane di Kuala Lumpur, Kluster Platinum di Johor dan Kluster Delima di Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu lain dikenal pasti adalah berkaitan komuniti (dua), keagamaan (satu) dan pusat tahanan (satu).

"Kluster berkaitan komuniti membabitkan Kluster Jalan Padi Mahsuri di Johor dan Kluster Kampung Bukit Putera di Terengganu.

"Kluster berkaitan aktiviti keagamaan adalah Kluster Keladi Saga di Kedah,, manakala kluster pusat tahanan ialah Kluster Tembok Bukit Besi di Terengganu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Secara keseluruhan, katanya, sejumlah 753 kluster sudah direkodkan di negara ini termasuk tujuh kluster baharu, hari ini.

Menurutnya, mengikut rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sejumlah 397 kluster sudah tamat termasuk Kluster Teguli dan Kluster Desa Pinang yang tamat hari ini.

"Jumlah kluster aktif ialah 356 kluster, manakala jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini, adalah 95 kluster.

"Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Pasai (111 kes), Kluster Seri Bayu (61 kes), dan Kluster Jalan Platinum (33 kes)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 8:44 PM