Rozilah Jaafar akui kaedah digunakan SK Labu mudahkannya untuk bantu anaknya tahun lima membuat PdPR di rumah. FOTO Mohd Amin Jalil
Rozilah Jaafar akui kaedah digunakan SK Labu mudahkannya untuk bantu anaknya tahun lima membuat PdPR di rumah. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: "Penggunaan bahan bercetak 'kotak ilmu' lebih jelas dan memudahkan anak saya melakukan kerja PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah) di rumah," ujar Haznani Mansor, 41, dari Kampung Batu 10 Labu di sini.

Menurutnya, pembelajaran dalam talian disifatkan mencabar berikutan dia perlu menyediakan peranti atau komputer selain kesukaran mendapatkan talian internet yang baik dan konsisten.

Haznani berkata, kaedah yang dipraktikkan oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Labu di sini, menyediakan sistem 'kotak ilmu' bagi memudahkan ibu bapa atau penjaga murid mendapatkan lembaran bahan PdPR amat memudahkan.

Surirumah itu berkata, pihaknya tidak perlu lagi mengeluarkan kos untuk membuat salinan bahan berkenaan kerana pihak sekolah sudah menyediakan sepenuhnya.

"Kaedah ini memudahkan saya membantu anak membuat kerja sekolah di rumah dan menjimatkan kos kami," katanya ketika ditemui di SK Labu di sini, tadi.

Seorang lagi ibu pelajar, Rozilah Jaafar, 44, turut akui pendekatan digunakan SK Labu memudahkan ibu bapa mendapatkan bahan PdPR dengan lengkap.

Kakitangan swasta itu berkata, dia boleh terus membantu anaknya di tahun lima menyiapkan tugasan di rumah tanpa gangguan atau masalah internet.

"Tambahan pula talian internet di kawasan ini kurang baik dan sering terganggu. Keadaan itu memberikan kesukaran bagi saya membantu anak menyiapkan kerja sekolah," katanya.

Sementara itu Guru Besar SK Labu, Mohd Fadli Abdul Majid, berkata, pihaknya menyediakan kotak khas bagi memudahkan ibu bapa atau penjaga mendapatkan bahan PdPR.

Beliau berkata, terdapat 13 kotak yang mengandungi bahan PdPR mengikut kelas murid bermula daripada peringkat pra-sekolah hingga tahun enam disediakan di bangunan khas di kawasan padang sekolah.

"Ibu bapa atau penjaga diminta mengambil lembaran itu bermula dari jam 7.30 pagi hingga 8 malam dengan pemantauan guru sekolah.

"Kaedah ini dilaksanakan untuk memastikan setiap murid menerimanya dan tiada kalangan mereka yang tercicir. Setiap bahan PdPR itu nama setiap murid.

"Majoriti murid di sekolah ini terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah dan golongan B40 termasuk Orang Asli yang sukar untuk belajar secara dalam talian," katanya.

Menurutnya, setiap murid diberikan masa tertentu menyiapkan tugasan berkenaan di rumah sebelum dikehendaki mengembalikannya semula.

"Kaedah ini sudah dipraktikkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tahun lalu dan ianya dilihat berkesan dalam melancarkan lagi pelaksanaan PdPR," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 3:17 PM