Syaherah Mustafa


Tanah Merah: Menutup stesen minyak setengah jam lebih awal, itu taktik yang digunakan oleh pemilik yang disyaki terbabit dalam penyeludupan 195 liter minyak petrol di Kampung Kerilla Estate, di sini, semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDNHEP Tanah Merah, Ahmad Azizi Abdul Kadir, berkata dalam kejadian 8 malam itu, enam anggotanya membuat pemerhatian dan mengenal pasti dua kenderaan dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota kemudian menghampiri kenderaan berkenaan namun pemandu kenderaan jenis pacuan empat roda Pajero sempat melarikan diri manakala suspek berusia 29 tahun yang membawa van berwarna kelabu berjaya ditahan.

"Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua kenderaan terbabit, mendapati terdapat 80 tong plastik yang sebahagian daripadanya berisi minyak petrol dipercayai untuk diseludup ke Thailand.

"Selain itu, pemilik stesen minyak juga disyaki terbabit dengan penyeludupan ini. Melalui hasil risikan, kami mendapati stesen minyak ini ditutup setengah jam lebih awal untuk menjalankan aktiviti berkenaan.

"Suspek yang ditahan termasuk pemilik stesen minyak disiasat di bawah Seksyen 21 dan 22 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang mana jika sabit kesalahan didenda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama atau denda RM3 juta bagi kesalahan kedua atau penjara lima tahun," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat KPDNHEP cawangan Tanah Merah, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, pihaknya turut merampas 2,108 kilogram gula pasir bernilai RM6,007.80 hasil pemeriksaan sebuah premis perniagaan runcit di Kampung Gemang di Jeli, pada 1.30 petang, kelmarin.

"Pemilik premis gagal mengemukakan dokumen jualan dan menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 8(4)(a) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"Untuk makluman, sepanjang Januari 2021, KPDNHEP Tanah Merah menangani tujuh kes membabitkan pelbagai kesalahan dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM19, 469.83.

"Pihak kami sentiasa menjalankan penguatkuasaan ketirisan barang kawalan dan berharap kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan maklumat sekiranya berlaku aktiviti yang mencurigakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 4:05 PM
 Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDNHEP Tanah Merah, Ahmad Azizi Abdul Kadir( kanan) bersama anggotanya menunjukkan rampasan  195 liter minyak petrol bernilai RM8,370.03 dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Kampung Kerilla Estate, di sini, semalam. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDNHEP Tanah Merah, Ahmad Azizi Abdul Kadir( kanan) bersama anggotanya menunjukkan rampasan 195 liter minyak petrol bernilai RM8,370.03 dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Kampung Kerilla Estate, di sini, semalam. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR