Suasana lengang di sebuah pusat membeli belah di Bukit Bintang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan akibat dari Pendemik Covid-19 yang meningkat di Kuala Lumpur. FOTO FATHIL ASRI.
Suasana lengang di sebuah pusat membeli belah di Bukit Bintang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan akibat dari Pendemik Covid-19 yang meningkat di Kuala Lumpur. FOTO FATHIL ASRI.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Keadaan di Bukit Bintang, di sini, yang sebelumnya sentiasa sesak dengan kehadiran pengunjung terutama pada hujung minggu kini dilihat lengang ketika perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dikuat kuasakan sejak 13 Januari lalu.

Pekerja kiosk makanan di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang, Noor Lydia Rowning, 36, berkata, situasi sekarang amat berbeza pada hari biasa dengan hanya puluhan pengunjung dilihat berada di premis berkenaan.

"Keadaan ini menyebabkan banyak premis makanan ditutup kerana tiada pengunjung. Malah, ada beberapa hari pada minggu lalu, langsung tiada pengunjung yang singgah membeli makanan di kiosk ini," katanya ketika ditemui di pusat beli-belah itu, hari ini.

Mengulas mengenai pematuhan orang ramai, Noor Lydia berkata, semua pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Ini kerana ada pengawal keselamatan yang bertugas di pintu masuk yang akan memastikan semua pengunjung mematuhi SOP sebelum dibenarkan memasuki premis ini.

"Malah, mereka juga (pengawal keselamatan) akan melakukan rondaan di seluruh pusat beli-belah bagi memastikan pengunjung sentiasa mematuhi SOP," katanya.

Pengunjung, Shahrizal Shadan, 41, berkata, kunjungannya ke premis berkenaan adalah untuk membeli tablet untuk anaknya.

"Saya bekerja sebagai penghantar makanan di sekitar kawasan ini. Jadi, saya 'curi' waktu sekejap untuk membeli tablet anak yang akan memulakan sesi pembelajaran secara dalam talian esok.

"Walaupun ada sedikit rasa risau untuk ke tempat umum sebegini, namun saya terpaksa kerana keperluan ini (membeli tablet) adalah penting untuk anak. Malah, pekerjaan saya menghantar makanan juga ada risikonya," katanya.

Katanya, kebanyakan pengunjung di pusat beli-belah berkenaan mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka dengan betul serta menjaga penjarakan fizikal.

Tinjauan wartawan Harian Metro di beberapa pusat beli-belah di Bukit Bintang mendapati premis-premis berkenaan agak sunyi serta lengang.

Hanya ada beberapa orang dilihat memasuki pusat beli-belah dengan kebanyakan mereka mahu membeli makanan.

Berdasarkan pemerhatian, kebanyakan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa dengan memakai pelitup muka serta menjaga penjarakan fizikal.

Bagaimanapun, tidak dinafikan masih ada segelintir individu yang dilihat mengabaikan SOP berkenaan dengan meletakkan pelitup muka di bahagian dagu serta tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 4:28 PM