MEENAKSHI Raman. FOTO arkib NSTP
MEENAKSHI Raman. FOTO arkib NSTP
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Sahabat Alam Malaysia (SAM) membantah cadangan kerajaan negeri Kedah untuk menambak laut bagi projek pembinaan pulau buatan di Langkawi yang bernilai tinggi.

Presidennya Meenakshi Raman berkata, projek mewah itu dijangka akan memberi banyak implikasi kewangan secara mendalam terutama ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

Katanya, apabila ekonomi negara dan dunia merudum, industri pelancongan akan mengalami kerugian bagi tempoh beberapa tahun lagi.

"Kenapa kita perlu membangunkan sebuah taman bagi golongan yang kaya-raya apabila sumber kewangan terhad?

"Bukankah (wang) yang kita miliki sepatutnya digunakan bagi memenuhi keperluan pembangunan lestari rakyat?" katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor pada sidang media kelmarin memaklumkan Kedah bakal menerima pelaburan domestik RM40 bilion dalam sektor pembangunan hartanah eksklusif dalam tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang.

Projek membabitkan pembangunan komersial berskala besar di Bandar Padang Mat Sirat, Pulau Langkawi merangkumi kawasan seluas 800.9 hektar dengan 90 peratus daripadanya adalah lautan.

Meenakshi berkata, pada masa ini, pembangunan projek mewah besar-besaran itu hanya akan memanfaat dan menguntungkan pihak tertentu sahaja.

Katanya, projek berkenaan dilihat akan memberi kesan buruk ke atas alam sekitar termasuk menjejaskan kepentingan serta kebajikan jangka panjang rakyat seperti komuniti nelayan.

"SAM akan terus mengkritik kerajaan negeri kerana mencadangkan projek yang menjejaskan alam sekitar seperti meneroka elemen nadir bumi, pembalakan berskala besar dan kini tambak laut.

"Kita tidak menafikan bahawa pelaburan amat penting, tetapi ia mestilah pelaburan baik dan berguna daripada segi sosial dan bermanfaat kepada semua terutama golongan miskin selain tidak memusnahkan alam sekitar," katanya.

Katanya, Muhammad Sanusi pernah berdiri bersama nelayan Pulau Pinang bagi membantah Projek Tambak Laut Selatan Pulau Pinang yang membabitkan penambakan laut besar-besaran seluas 1,821 hektar, sebelum ini.

"Kita harap beliau tidak lupa perkara ini dan SAM merayu kepadanya supaya mengkaji semula dan membatalkan usahasama ini.

"Sudah tentu, apa yang tidak baik bagi Pulau Pinang, juga tidak baik kepada Kedah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 5:33 PM