Zaid Salim

Kuala Terengganu: Sebanyak 25 Sekatan Jalan Raya (SJR) digerakkan Polis Kontinjen Terengganu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di seluruh negeri ini bermula hari ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, bagi memastikan kawalan di setiap lokasi SJR berjalan lancar, 326 anggota membabitkan polis dan tentera akan ditempatkan di semua SJR berkenaan sepanjang pelaksanaan PKP 2.0.

Katanya, daripada 25 SJR berkenaan, lapan daripadanya akan beroperasi selama 24 jam iaitu di pintu sempadan keluar masuk negeri.

"Selain itu, tiga lagi lokasi di Setiu juga akan diadakan selama 24 jam iaitu di simpang 3 Sungai Tong-Kuala Berang, Kampung Bintang dan Kampung Fikri.

"Manakala bagi SJR selebihnya, kita akan laksanakan secara bergerak di lokasi yang dikenal pasti," katanya ketika dihubungi, hari ini.

ANGGOTA polis memeriksa dokumen perjalanan dalam sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Padang Midin menghala pusat bandar pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Terengganu dibawah perlaksaan PKP bermula hari ini hingga 4 Februari depan. FOTO Ghazali Kori
ANGGOTA polis memeriksa dokumen perjalanan dalam sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Padang Midin menghala pusat bandar pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Terengganu dibawah perlaksaan PKP bermula hari ini hingga 4 Februari depan. FOTO Ghazali Kori

Menurutnya, SJR secara bergerak dilakukan dalam tempoh 16 jam, 12 jam atau 8 jam bergantung kepada keadaan semasa di lokasi terbabit.

Roslee berkata, selain kawalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), pihaknya juga akan meningkatkan rondaan dan pemantauan bagi mengelak aktiviti jenayah.

"Kita percaya, tidak mustahil dengan keadaan negara sibuk menangani penularan wabak Covid-19 ini, ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan untuk melakukan jenayah terutama aktiviti pengedaran dadah," katanya.

Dalam masa sama, polis Terengganu akan memastikan 10 jalan tikus di daerah Besut dan dua di Kemaman dikawal ketat.

Katanya, rondaan dan pemantauan secara berkala juga akan dilakukan di kawasan tumpuan awam seperti pasar raya dan lain-lain lokasi.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 11:36 AM