FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang terjejas akibat banjir boleh mengemukakan permohonan penangguhan bayaran balik mulai 20 Januari 2021 sehingga 31 Mac ini.

Pada kenyataan, PTPTN berkata, ia boleh dibuat melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my/PenangguhanKhasBayaran Balik tanpa ada sebarang dokumen sokongan diperlukan semasa permohonan.

Katanya, penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN akibat bencana banjir ini akan diberikan untuk tempoh tiga bulan bermula pada bulan yang sama kelulusan permohonan yang diberikan PTPTN dan dua bulan ke hadapan di antara Januari hingga Mei.

Menurutnya, kelulusan penangguhan akan dimaklumkan kepada peminjam melalui emel yang dikemukakan dalam tempoh tiga hari bekerja daripada tarikh peminjam mengemukakan permohonan.

"Untuk itu, peminjam diingatkan untuk mengemaskini maklumat perhubungan yang tepat dan terkini bagi memastikan maklumat kelulusan permohonan penangguhan dapat disampaikan kepada peminjam," katanya.

Sementara itu, Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berkata, pihaknya berharap, penangguhan itu sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban peminjam.

"Keputusan ini adalah bukti keprihatinan kita kepada mereka yang terjejas akibat musibah banjir.

"Saya juga sudah meminta supaya semua pegawai di PTPTN memastikan proses memohon penangguhan ini berjalan dengan kaedah yang paling mudah. Kita tidak mahu birokrasi yang berlebihan dalam melaksanakan program bantuan ini," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan dan PTPTN untuk membantu dan meringankan beban kewangan yang ditanggung peminjam.

"Penangguhan bayaran balik yang sebelum ini diberikan ekoran pandemik Covid-19 kini diperluaskan kepada bencana banjir.

"Permohonan secara dalam talian tanpa perlu hadir ke kaunter cawangan PTPTN juga antara keprihatinan kita untuk memudahkan urusan peminjam," katanya.

Untuk maklumat lanjut, peminjam boleh menghubungi Careline PTPTN di 03-21933000 yang beroperasi Isnin hingga Jumaat, jam 9 pagi hingga jam 5 petang atau layari www.ptptn.gov.my di ruangan Soalan Lazim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 5:15 PM