Nelayan menangkap hasil tangkapan ikan dan akan menjualnya mengikut permintaan dan menghantar dari rumah ke rumah ketika PKP. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Nelayan menangkap hasil tangkapan ikan dan akan menjualnya mengikut permintaan dan menghantar dari rumah ke rumah ketika PKP. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Sebahagian besar nelayan di sekitar pelantar Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah di sini menukar strategi perniagaan dengan menjual hasil tangkapan menerusi penghantaran dari rumah ke rumah dan peraih sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Jumaat ini.

Nelayan, Japarudin Jaafar, 52, berkata pengalaman ketika PKP Mac lalu membuatkan mereka lebih bersedia mencari sumber pendapatan disebabkan pergerakan terhad.

Beliau berkata, nelayan boleh meneruskan aktiviti menangkap ikan seperti biasa namun sebahagiannya dijual melalui peniaga di pelantar ini manakala bakinya dijual menerusi penghantaran ke rumah.

"Kami turun ke laut seperti biasa seawal jam 5.30 pagi setiap hari dan akan pulang ke sini sebaik tangkapan diperolehi.

"Kalau ada peraih nak beli, kita jual terus dan kalau ada ikan tak habis dan susah nak jual, kita akan hantar mengikut tempahan tapi dikenakan cas mengikut kawasan kerana masa PKP, ramai yang tak boleh keluar rumah," katanya ketika ditemui di pelantar ikan Kampung Seberang Kota, di sini hari ini.

Japarudin berkata, ketika PKP tahun lalu, kebanyakan hasil nelayan yang tidak dapat dijual diserahkan kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Kedah untuk membantu.

Namun katanya, untuk kali ini, nelayan akan cuba menjual dengan kaedah sendiri kerana PKP hanya dua minggu sehingga 4 Februari ini.

"Tangkapan diperoleh setiap hari ada yang dapat 200 hingga 800 kilogram untuk sebuah bot tapi pembelinya mungkin akan kurang.

"Peraih dari luar Kedah juga ada datang ke sini untuk membeli seminggu dua kali, kadang-kadang empat tan atau lima tan pelbagai jenis tangkapan ikan sebab mereka datang dengan lori," katanya.

Japarudin berkata, kira-kira 100 bot beroperasi menangkap ikan di pelantar Seberang Kota dan jumlah itu tidak termasuk di kawasan lain seperti di pelantar Seberang Kota atau kawasan berhampiran Kuala Kedah.

Katanya, kalau ada permintaan, pihaknya akan membungkus ikan bergantung tempahan pelanggan dan menghantarnya selepas jam 12 tengah hari.

Peniaga ikan, Khadijah Md Shah, 46, berkata, harga ikan juga masih meningkat bergantung jenis saiz antara RM8 hingga RM12 sekilogram.

Katanya, kebanyakan peniaga ikan di pelantar itu tidak beroperasi namun bersedia menjual ikan secara dalam talian atau penghantaran dari rumah ke rumah.

"Hasil tangkapan perlu dijual setiap hari bagi mengelak ikan rosak dan kalau ada peraih nak beli, kita jual terus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 2:38 PM